GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

Lima bulan selepas dilancarkan, Perodua Myvi terus menerima sambutan yang menggalakkan. Itu sudah boleh diagak. Namun, seperti yang berulang kali dinyatakan oleh pengeluarnya, apa yang tidak dijangkakan lebih awal ialah pengguna akan lebih ramai memilih untuk memiliki model 1.5L berbanding 1.3L.

Sehingga kini, perhatian lebih banyak diberikan kepada model 1.5L, dan tempoh menunggu bagi model ini juga masih agak panjang jika anda membuat tempahan sekarang kerana permintaan terhadapnya masih begitu tinggi.

Tetapi halnya berbeza dengan model 1.3L yang mempunyai banyak stok tersedia. Untuk itu, adakah berbaloi untuk menunggu lama bagi mendapatkan model 1.5L? Atau adakan penawaran pada model 1.3L ini juga memberi lebih nilai dengan tanda harga yang dikenakan.

GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

Bagi galeri ini, kami mempertemukan kedua-dua varian model 1.3L dalam warna Peppermint Green khusus untuknya; varian G dan juga Premium X. Kedua-duanya hadir dengan ciri standard seperti lampu utama LED, sistem tanpa kunci, empat beg udara dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC). Ia juga kini lebih murah daripada model sebelumnya, dan datang dengan jaminan pengeluar lima tahun atau 150,000 km.

Model ini menggunakan enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE) yang menghasilkan 94 hp pada 6,000 rpm dan 121 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik empat kelajuan (hanya model asas 1.3L ada ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan). Ia juga lengkap dengan stereng kuasa elektronik dan rim 14-inci.

Kedua-dua varian 1.3G dan 1.3 Premium X ini dilengkapi dengan sensor parkir, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat pada unit yang sama, lampu belakang LED dengan light guide serta cermin depan akustik dan antena radio “shark fin”.


Myvi 1.3G (kiri) dan 1.3 Premium X.

Di dalam, kedua-duanya mempunyai suis tingkap automatik sebelah pemandu (naik dan turun), kawalan pendingin hawa digital, ruang barangan di tengah, unit radio DIN berkembar, sokongan SUB dan Bluetooth serta pengecas USB ditawarkan sebagai standard.

Bagi varian 1.3L Premium X, ia mempunyai beberapa tambahan ciri. Ini termasuk lampu kabus halogen di depan, sensor parkir bahagian depan, sistem Eco Idle serta bantuan mula mendaki. Stereng juga dinaiktaraf kepada material kulit dengan butang kawalan audio dan telefon.

Model 1.3L kini ditawarkan dengan senarai spesifikasi yang menarik juga, dan dijual pada harga yang lebih murah. Ia juga tidak jauh berbeza dari spesifikasi 1.5L – yang antara lain turut dilengkapi dengan enam beg udara dan Advanced Safety Assist (ASA, bagi varian paling tinggu sahaja).

Ia menggunakan enjin 1.5 litre Dual VVT-i (2NR-VE) dengan janaan 102 hp pada 6,000 rpm dan 136 Nm pada 4,200 rpm. Walaupun lebih hanya lapan hp dan 15 Nm, untuk kereta saiz dan seberat Myvi, perbezaan prestasi pemanduan akan dapat dirasai dengan ketara.

Lain-lain ciri yang menjadi kelebihan bagi model 1.5L ialah rim 15-inci, bodykit dwi-tona dan Smart-Tag binaan dalam. Bagi spesifikasi paling tinggi 1.5 Advance, ia menerima kerusi kulit, unit audio dengan skrin sentuh lengkap dengan navigasi dan Smartlink dan kemara undur. Tidak terlalu banyak beza dari model 1.3L sebenarnya. Satu lagi, warna Granite Grey yang khusus untuk 1.5L.

Kalau anda ingin membeli Myvi sekarang, dan mahukan model 1.5L, kebarangkaliannya adalah anda mungkin perlu tunggu lama dan tak akan mendapat serahannya untuk Hari Raya nanti. Melihat kepada senarai spesifikasinya, model 1.3L juga tidak ketinggalan jauh, tambahan pula dengan tanda harga yang lebih murah. Adakah 1.3L ini sudah memenuhi keperluan anda? Kalau ya, kenapa perlu tunggu lama-lama untuk dapatkan model 1.5L?

Perodua Myvi 1.3G

Perodua Myvi 1.3 Premium X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Alson P on May 04, 2018 at 1:03 pm

    Myvi 1.3L X perlu diberikan ciri²(Dan aksesori) yang sama seperti Varian 1.5L H atau lebih baik.. Dengan ini jualan 1.3L dapat ditingkatkan berkali ganda mengatasi Varian 1.5L

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required