Naza Kia Malaysia telah memperkenalkan varian SX baru bagi MPV lapan tempat duduk mereka iaitu Grand Carnival. Varian ini ditawarkan kepada pasaran pada harga RM188,888 tidak termasuk insurans dan menggantikan varian EX, iaitu varian paling tinggi bagi Grand Carnival CKD sebelum ini.

Dari luar, varian SX ini boleh dibezakan dengan adanya rim 19 inci Chrome Sputtering Type (berbanding rim 18 inci pada varian KX), gril mesh berbintik warna hitam berkilat, lampu kabus bentuk bulat bersama kemasan krom di sekelilingnya serta lampu HID dengan Diamond Glitter Type Positioning Lamp dan Auto Levelling System.

Masuk ke dalam pula, Grand Carnival SX ini didatangkan tempat duduk yang dibalut kulit dua tona warna burgundy, sistem audio dengan skrin sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan panel instrumen berserta skrin TFT LCD tujuh inci untuk pemandu.

Satu peningkatan utama untuk penumpang belakang pada varian SX ini adalah ia dilengkapi dengan dua skrin yang diletakkan di belakang penyandar kepala tempat duduk paling hadapan, dan ia boleh disambung dengan WiFi. Model ini juga dilengkapi dengan enam pembesar suara, serta sambungan USB dan AUX.

Bahagian utama lain kenderaan ini masih lagi sama termasuk enjin, menggunakan unit 2.2 liter empat-silinder CRDi turbodiesel dengan janaan kuasa sebanyak 190 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia digandingkan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.

Orang ramai boleh memilih empat warna untuk Grand Carnival 2.2D SX ini iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Blackberry (tambahan baru) dan Silky Silver (khas untuk SX). Ia juga datang secara standard dengan Electronic Stability Control (ESC), Hill Start Assist System, ABS, enam beg udara, auto cruise control, pintu gelungsur kuasa elektrik dan sistem pemasukan tanpa kunci.

Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan. Anda juga boleh melihat spesifikasi penuh Kia Grand Carnival ini di CarBase.my.