Sebelum ini, kami pernah laporkan berkaitan manifesto PAS untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang menyentuh sedikit sebanyak tantang industri automotif negara. Terbaru, Barisan Nasional pula mendedahkan manifesto parti itu; walaupun tidak menyentuk industri automotif secara khusus, ia antara lain melibatkan aspek penyediaan pengangkutan awam.

Daripada manifesto berkenan, BN ingin memberi penekanan terhadap pembangunan kemudahan dan rangkaian pengangkutan awam negara. Antara perkara yang disebut ialah bahawa parti itu akan terus menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan Persekutuan dengan baik, sebagai alternatif kepada lebuhraya bertol.

BN juga akan memperkukuh rangkaian pengangkutan di Sabah dan Sarawak melalui naiktaraf jalan-jalan luar bandar yang meliputi 12,500 km keseluruhannya.

Peluasan rangkaian lebuhraya juga akan diteruskan, termasuk pembinaan fasa ketiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sementara bagi Lebuhraya Pantai Barat (LPB) dari Banting ke Taiping akan disiapkan menjelang tahun 2020 nanti.

Sementara itu, pembinaan Central Spine Road – atau lebuhraya Kuala Krai-Kuala Pilah – akan diteruskan. Selain mengurangkan kesesakan trafik, laluan sepanjang 325 km yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan itu mensasarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.

Tumpuan turut diberikan kepada projek-projek prasarana seperti pembinaan jalan-jalan kampung, jambatan dan pemasangan lampu jalan tambahan. Paling utama ialah pembinaan sebanyak 383 jambatan kecil di seluruh negara untuk merancakkan lagi perhubungan antara kawasan terpencil dengan bandar-bandar utama.

Bagi peringkat individu, di bawah rancangan Transformasi Nasional 50 (TN50) akan menyaksikan pengenalan pas pengangkutan awam TN50 (kos dari RM50-RM150). Ini akan membolehkan capaian terhadap pengangkutan awal secara bulanan bagi pelajar, belia bekerja dan warga emas serta yang kurang upaya.

Selain itu, sebagai tambahan kepada program MyLesen, subsidi akan disediakan bagi belia luar bandar yang memohon untuk mendapatkan lesen motosikal B2.

Lagi berkaitan pengangkutan awam; servis bas perantara akan dipertingkat, terutama kawasan sekitar rangkaian keretapi/tren seluruh negara. Antara pembangunan rangkaian ini yang dimaksudkan ialah HSR Singapura-Kuala Lumpur, East Coast Rail Link sejauh 688 km yang akan menghubungkan Port Klang-Pengkalan Kubor serta kerja-kerja laluan Gemas-Johor Bahru sepanjang 197 km juga masih dalam pembinaan.

Manifesto berkenaan juga menekankan beberapa projek lain, termasuk rapid transit system (RTS) antara Johor Bahru-Singapura, rancangan pembinaan landasan elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Subang Skypark serta landasan berkembar di Lembah Klang – dengan 42 km trek yang akan dibaik pulih. Projek-projek lain termasuk pengenalan sistem pengangkutan bersepadu pintar (ITS), yang akan meliputi semua jenis pengangkutan dan trafik di seluruh negara. Anda teruja dengan manifesto ini?