Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

Sebelum ini GearUp sering menampilkan aksesori melibatkan kosmetik untuk Perodua seperti kit badan dan seumpamanya. Terbaharu, Perodua telah mengumumkan satu aksesori baharu yang berbeza dari sebelum ini iaitu Smart Bluetooth TPMS (Tyre Pressure Monitoring System), iaitu sistem yang membolehkan anda memantau tekanan angin tayar setiap masa.

Produk ini dibangunkan dan diproduksi secara tempatan, serta dijual pada harga pengenalan RM385 sehingga 30 Jun ini. Selepas dari tarikh berkenaan, sistem TPMS Bluetooth ini akan dijual pada harga RM430. Sama seperti barisan aksesori GearUp yang lain, ia dilindungi waranti selama enam-bulan selepas pembelian.

“Dengan Smart Bluetooth TPMS, Perodua telah menjadi pengeluar kenderaan Malaysia pertama yang memperkenalkan sistem pemantau angin tayar yang berfungsi dengan aplikasi mudah-alih sebagai aksesori asli. Kami di Perodua bangga dengan mengutamakan produk tempatan dan berbuat perkara yang sama, menyumbang kepada ekosistem automotif tempatan,” kata pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin.

Menurutnya lagi, dengan memastikan tayar sentiasa mempunyai angin yang mencukupi dan memanjangkan jangka hayatnya, ia juga secara tidak langsung mengurangkan penggunaan petrol serta membantu keselamatan keseluruhan sesebuah kenderaan itu.

Smart Bluetooth TPMS ini terdiri dari empat penderia dan satu peranti yang diletakkan di dalam kereta. Setiap penderia berkenaan akan diskru pada setiap injap angin tayar, menggantikan tempat penutup injap biasa. Ia akan menghantar isyarat bacaan tekanan angin tayar kepada peranti di dalam kereta menerusi hubungan Bluetooth.

Peranti berkenaan pula diberikan empat lampu, mewakili keempat-empat tayar kereta. Sekiranya tekanan angin pada mana-mana tayar berkurangan 8% dari jumlah yang disyorkan, ia akan mengeluarkan bunyi, manakala lampu penunjuk tayar yang dikesan tersebut pula akan menyala.

Anda juga boleh memuat-naik aplikasi telefon pintar FOBO Tire untuk memantau tekanan angin dan juga suhu setiap tayar berkenaan juga menerusi hubungan Bluetooth. Aplikasi ini turut menyimpan data pada cloud bagi membolehkan ia dikongsi bersama pengguna lain yang dijemput, contohnya ahli keluarga terdekat.

Tentu ramai yang bertanya adakah setiap penderia berkenaan mudah dicuri bukan? Menurut Perodua, setiap penderia tersebut boleh dikunci menggunakan spana kunci khas yang disertakan. Setiap penderia berkenaan menerima kuasa dari bateri sel-syiling, manakala untuk peranti pula berfungsi dengan bateri bersaiz AA (kesemua bateri diberikan sekali) dan ia turut diberikan penderia pergerakan bina-dalam, yang membolehkan ia dialih kepada mod tidur secara automatik sekiranya tiada pergerakan dikesan.

Selain produk baharu ini dan juga kit-kit kemasan dan badan, Perodua GearUp turut menawarkan tempat duduk keselamatan untuk kanak-kanak pada Oktober tahun lalu. Kelebihan pada kesemua aksesori asli ini, anda boleh membelinya ketika menempah kereta baharu, dan kesemua jumlah berkenaan boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pembiayaan kereta tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required