Selepas membuka undian kepada umum untuk memilih nama yang sesuai bagi SUV pertama Proton yang turut menyaksikan penawaran hadiah bernilai RM100,000, Proton menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan terhadap kempen berkenaan.
Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Proton memaklumkan, sepanjang sembilan hari pertama sahaja, mereka telah menerima sebanyak 69,000 maklum balas daripada pengguna internet. Bagi video yang dinaikkan pula, ia telah menerima 165,000 tontonan dan 1,000 perkongsian di Facebook.
Lebih menarik, di dalam kenyataan media yang sama, Proton sekali lagi mengesahkan antara senarai kelengkapan dan ciri-ciri yang akan melengkapi model SUV terbabit. Terbaru, ciri brek kecemasan automatik (atau Autonomous Emergency Braking, AEB) disahkan turut akan ditawarkan.
“Seperti yang telah kami kongsikan sedikit pada video promosi pertandingan ini, SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360 darjah dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif, brek kecemasan automatik serta banyak lagi,” memetik kenyataan itu.
Sebagai habuan kepada pengguna yang ikut serta di dalam undian atas talian itu juga, lima pemenang akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi. Hadiah yang bakal diterima pula terdiri daripada undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di litar ujian PROTON di Shah Alam.
Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV berkenaan. Sekiranya nama yang mereka cadangkan itu terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi 2 orang, termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.
Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Proton Suzuran (suv)