Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan, semua pemandu e-hailing dan kereta sewa diwajibkan melalui syarat dan peraturan sama dengan pemandu teksi bagi mewujudkan persaingan sama rata antara perkhidmatan tersebut.

Peraturan yang dilaksanakan sejak 6 April lalu adalah termasuk saringan latar belakang, kesalahan trafik, kesihatan, keperluan latihan dan pemeriksaan kenderaan berkala seperti yang perlu dilalui oleh pemandu teksi, laporan Bernama.

“Saya sedar bahawa pemandu teksi menghadapi banyak rintangan, dugaan dan cabaran. Saya sedar pendapatan pemandu teksi sedikit sebanyak terjejas dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing di dalam negara kita. Satu perkhidmatan yang dituntut oleh rakyat (e-hailing) tetapi kita perlu melakukan sesuatu melalui intervensi kerajaan supaya periuk nasi pemandu teksi tidak terjejas,” katanya dalam majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Serdang, Jumaat lalu.

Najib berkata kertas kabinet mengenai peraturan baharu bagi perkhidmatan e-hailing itu dibentangkan oleh Nancy dan SPAD dan diluluskan oleh jemaah menteri pada 6 April lepas.

“Saya telah arahkan penguatkuasaan melalui gazetnya dibuat pada hari yang sama,” katanya.