Honda telah mengumumkan bakal memperkenalkan dua model baharu di Beijing Motor Show 2018 pada hujung April ini, termasuk model konsep kenderaan elektrik (EV) dan juga sedan serba baharu.

EV konsep yang dipertontonkan adalah model yang bakal dijual di China sebelum hujung tahun ini, dibangunkan oleh GAC Honda. Syarikat ini adalah hasil kerjasama antara Guangzhou Auto (GAC) dan Honda, yang pada mulanya dikenali sebagai Guangzhou Honda sebelum dinamakan semula menjadi GAC Honda pada 2008.

Tidak diketahui apakah bentuk model EV berkenaan, walau pun terdapat desas-desus menyatakan kenderaan versi hanya elektrik ini adalah HR-V atau lebih dikenali sebagai Vezel di sana.

Bagi sedan pula, Dongfeng Honda, satu lagi kerjasama antara Dongfeng Motor Group dan Honda, akan memproduksikan model ini. Ini mungkin Spirior yang baharu, yang terdahulu merupakan versi kejuruteraan berlencanakan Honda Accord yang diperbuat oleh Dongfeng Honda hanya untuk pasaran China sahaja.

Selain dua model pelancaran tersebut, Accord Hybrid dan Acura CDX Hybrid terkini juga akan ditampilkan dalam acara automotif terbesar China itu, dengan yang terakhir tersebut menjadi versi elektrik berdasarkan HR-V.