Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

Anda mungkin ingat roadster ini adalah sebuah Volkswagen Beetle. Tetapi sebenarnya tidak, ia adalah sebuah kereta sport custom binaan pakar restorasi VW Beetle Cabriolet dari Jerman iaitu Memminger Feine-Cabrios dan kereta istimewa ini digelar Memminger Roadster 2.7.

Menurut Memminger, binaan asas kereta ini sememangnya diambil dari Beetle, tetapi tidak diperincikan dengan jelas bahagian mana yang diadaptasi, manakala kerangka kereta ini pula dibina dari tiub keluli yang dikimpal.

Jika dilihat pada bahagian sisi kereta ini, ia jelas lebih lebar dan lebih rendah dari Beetle klasik, serta kedudukan enjin juga berbeza – Memminger Roadster mempunyai enjin yang diletakkan pada bahagian tengah (antara tempat duduk dan tayar belakang), manakala enjin Beetle asli terletak di belakang tayar.

Memminger Roadster 2.7 – kereta sport moden 210 hp/247 Nm, diinspirasikan dari VW Super Beetle 1303

Roadaster ini masih lagi dijana enjin boxer empat silinder seperti Beetle, tetapi dengan kapasiti jauh lebih besar iaitu 2.7 liter yang mampu menghasilkan 210 hp dan tork maksima 247 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan, memacu roda belakang.

Kereta dengan berat keseluruhan hanya 800 kg ini dibekalkan dengan sistem suspensi yang diperkuat bersama sistem brek yang diambil dari Porsche 911 klasik. Keempat-empat sudut diberikan rim berdiameter 18-inci yang dibaluti tayar-tayar Michelin dengan saiz 225/45R18 di hadapan serta 255/40R18 di belakang.

Pada bahagian luar, ciri-ciri seperti VW Beetle masih kelihatan dan mirip kepada model ‘Super Beetle’ 1303 keluaran tahun 1973 hingga 1974, dengan lampu hadapan yang lebih menonjol serta lampu belakang yang lebih besar. Pada bahagian penutup enjin pula, roadster ini direka seakan Porsche 918 Spyder bersama liang udara untuk enjin.

Masuk ke kabin, kereta ini diberikan papan pemuka ringkas menampilkan dua meter utama iaitu takometer dan meter kelajuan (hanya meter kelajuan tunggal pada Beetle Type 1) dengan elemen nombor dan tulisan seperti Beetle klasik, manakala meter suhu dan tekanan minyak pelincir dan juga jam analog diletakkan pada bahagian tengah.

Tiada sistem infotainmen diberikan pada kereta ini, namun elemen keseronokkan memandu sangat dititik beratkan menerusi pemadanan roda stereng sport, tombol gear balutan kulit dan juga tempat duduk bucket penuh dengan corak tartan serta tiub serlahan berwarna merah.

Setakat ini, Memminger hanya membina sebuah sahaja Roadster 2.7 berkenaan dan dijadikan sebagai model konsep. Sekiranya mendapat permintaan, syarikat tersebut menyatakan mereka hanya akan membinanya sebanyak 20 unit sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required