Siri filem aksi lumba kereta jalanan Fast and Furious bakal dihasilkan pula dalam bentuk siri animasi dan akan ditayangkan secara dalam talian di Netflix. Siri berkenaan merupakan hasil pertama dari perjanjian berberapa tahun yang telah ditandatangani antara Netflix dan juga Dreamworks Animation Television.

Walau bagaimanapun, siri ini bukanlah berkisar kisah Dominic Toretto bersama pasukannya, sebaliknya watak utama animasi berkenaan adalah Tony Toretto iaitu sepupu kepada Dominic. Tony dan rakan-rakannya mengikut jejak langkah Dom apabila direkrut oleh agensi kerajaan untuk menyusup masuk ke liga perlumbaan elit yang menyembunyikan aktiviti sebuah organsasi jenayah jahat.

“Kami teruja untuk melanjutkan dan meluaskan lagi kerjasama yang berjaya dengan Netflix bukan hanya untuk memberikan program berkualiti tinggi DreamWorks, malah menghubungkan peminat dari Universal Films dengan cerita-cerita baharu yang menarik,” kata Margie Cohn, presiden DreamWorks Animation Television.

Menerusi imej yang disiarkan, nampaknya siri ini akan dihasilkan menerusi teknik 3D. Manakala kereta yang digunakan pula adalah kereta imaginasi tanpa lesen dari pengeluar – kereta berwarna putih kelihatan seakan badan Mercedes-Benz SLS bersama muka seperti Alpine A110 klasik, manakala ‘American Muscle’ disebelahnya nampak seperti Dodge Challenger tetapi dengan gril hadapan berlainan.

Jadi, apa pendapat anda berkenaan siri animasi ini? Adakah ia akan menjadi animasi yang sesuai untuk tontonan orang dewasa yang minat kereta seperti Initial D atau sekadar lagi satu kartun untuk hiburan kanak-kanak?