Persimpangan bertingkat Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)-Jalan Temiang telah pun dibuka kepada lalu lintas mulai hari ini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan adanya persimpangan bertingkat yang dibina dengan kos RM55 juta itu, penduduk setempat tidak perlu lagi keluar ke bandar Seremban untuk pergi ke Kajang atau Senawang, dan ia menjimatkan masa perjalanan kerana selain jauh, jalan di bandar Seremban juga selalunya sesak, laporan Bernama.

“Persimpangan bertingkat ini merupakan projek yang memang menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha mempertingkat kemudahan dan infrastruktur rakyat setempat,” katanya kepada pemberita sewaktu merasmikan laluan berkenaan semalam.

Mohamad berkata Temiang akan menikmati pembangunan yang pesat susulan pembukaan persimpangan bertingkat yang merupakan pintu keluar dan masuk ke kawasan ini.