Bekas Perdana Menteri Malaysia yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing Grab seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya kata kita perlu mengkaji semula akta yang sedia ada supaya hak kedua-dua pihak (GRAB & Teksi) terbela,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Sebelum ini, laporan dari akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa Tun M akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing berkenaan bagi membela nasib pemandu teksi, namun turut menyiarkan kenyataannya berbunyi “Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti.”

Laporan akhbar tersebut turut memetik bahawa kenyataan itu dibuat ketika acara sembang santai dan dialog bersama pemandu pelancong Langkawi.