Bosch sememangnya antara syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem keselamatan motosikal. Pada masa ini, sistem brek ABS serta Motorcycle Stability Control (MSC) oleh Bosch menjadi pilihan utama bagi pengeluar, dan syarikat itu berterusan komited untuk menghasilkan pelbagai teknologi baru.

Antara yang semakin hampir dilengkapkan pada motosikal produksi adalah sistem bantuan berasaskan radar. Dengan adanya radar ini, tiga lagi sistem keselamatan dan bantuan penunggang dapat digunakan iaitu Adaptive Cruise Control (ACC), amaran perlanggaran dan pemerhati titik buta. Antara jenama yang disebut bakal menggunakan sistem ini adalah KTM dan Ducati.

Namun, ada satu lagi teknologi baru yang cukup menarik perhatian. Bosch sedang membangunkan satu sistem untuk mengelakkan motosikal jatuh waktu mengambil selekoh kerana permukaan jalan yang licin, sama ada disebabkan tumpahan minyak, pasir/batu halus, lumut mahupun daun-daun basah.

Seperti yang diketahui, keadaan sebegini memang ditakuti oleh penunggang dan pada kebanyakan masa, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan motosikal daripada jatuh. Bagi penunggang yang berpengalaman atau motosikal tidak bergerak laju, masih ada cara untuk menyelamatkannya tetapi ia memerlukan reaksi yang pantas dan cara yang betul.

Bosch kini sedang melakukan ujian untuk menyerahkan tugas ini kepada sistem elektronik. Idea utama dalam projek yang digelar sliding mitigation research ini adalah untuk memberikan daya tolakan tambahan dari tepi, seterusnya menyelamatkan motosikal daripada terjatuh.

Apabila ada gelinciran dikesan pada tayar motosikal, dan ia melebihi tahap tertentu, satu daya tolakan daripada gas dikeluarkan pada bahagian tepi motosikal dan ia akan menjadikan motosikal tegak untuk seketika. Pengumpul gas yang digunakan pada sistem ini adalah sama seperti yang digunakan pada beg udara kereta. Saksikan video di atas untuk melihat bagaimana ia berfungsi.