Pemansuhan GST yang akan bermula 1 Jun ini juga menyaksikan Ducati Malaysia mengeluarkan senarai harga terbaru semua model yang ditawarkan. Walaubagaimanapun, harga untuk model eksklusif 1299 Superleggera dan V4 yang masih belum dilancarkan secara rasmi masih belum berada dalam senarai ini.

Apabila mengikut peratusan sama, sudah tentu penjimatan paling banyak didapati daripada model yang paling mahal, dan dalam senarai ini ia adalah 1199 Superleggera, yang kini harganya diturunkan sebanyak RM27,672 menjadi RM461,215.

Model paling mampu milik pula, iaitu Monster 797 dijual dengan harga bermula RM52,735 (penurunan sekitar RM3k) manakala Monster 821 pula harganya kini bermula RM66,886 (turun RM4k). Penurunan paling sikit adalah untuk model Scrambler Sixty2, iaitu yang dikuasakan enjin 399 cc, dengan harganya menjadi RM48,017, iaitu penurunan sebanyak RM2,881.

Model Scrambler lain yang menggunakan enjin 803 cc disenaraikan dengan penurunan antara RM3.6k hingga RM3.8k, menjadikan harganya bermula RM60,282 hinggalah RM64,999. Bagi model cruiser XDiavel pula, anda sudah boleh memilikinya dengan harga bermula RM129,150 (penurunan RM7.7k selepas kadar GST dibuang).

Model sports Ducati yang popular dengan enjin V-twin, iaitu Panigale boleh dimiliki bermula dari harga RM95,187, iaitu untuk Panigale 959 (dengan penurunan RM5.7k) manakala model jelajah sports Multistrada dijual bermula harga RM81,037, iaitu untuk Multistrada 950 SR (penurunan RM4.9k).