Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah menyiarkan senarai harga kenderaan Ford yang akan digunakan bermula 1 Jun ini, iaitu waktu yang ditetapkan untuk cukai GST dimansuhkan. Harga ini adalah tidak termasuk insurans, dan akan digunakan sehingga cukai SST pula diumumkan pada masa hadapan.

Tanpa kadar GST 6%, jumlah penjimatan yang dapat dinikmati adalah antara RM4,677 iaitu untuk model Ranger 2.2 XL Standard, hinggalah RM33,261 iaitu untuk kereta sport Mustang GT 5.0L. Model kompak Fiesta pula dijual pada harga bermula RM83,401, dengan penjimatan antara sekitar RM5k hingga RM8k.

Bagi yang rajin mengira, anda pasti akan mengesan bahawa pengurangan ini ada yang tidak mencapai 6%. Ini kerana kadar tersebut hanya dikenakan pada harga jualan kenderaan sebelum dimasukkan dengan kos lain yang tidak mempunyai GST seperti cukai jalan, pendaftaran dan penamaan pemilik.

Selain pemansuhan GST, SDAC juga kini sedang mempunyai promosi sempena ulang tahun ke-10. Antara yang menarik adalah percuma Fiesta 1.5L Sport apabila membeli Mustang, MPV S-Max pada harga bermula RM147,000 dan servis serta penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau 40,000 km untuk pembeli Ranger Wildtrak.