Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyarankan agar Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan pembelian oleh pengurusan (MBO) terhadap syarikat konsesi lebuh raya bertol supaya jalan raya dan lebuh raya adalah percuma yang memberikan manfaat kepada rakyat dan bukannya digunakan untuk membuat keuntungan.

Katanya, jika digabungkan dengan semakan semula kadar tol yang akan diumumkan awal minggu depan, akan mengurangkan lagi beban kewangan rakyat untuk jangka panjang. Di mana MBO itu boleh dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun akan datang apabila kerajaan baharu ini mengukuhkan kedudukan kewangannya, laporan Bernama.

“Sama ada kita mampu untuk membeli syarikat tol ini dan menjadikan ianya percuma, ia adalah isu kebijaksanaan fiskal dan apakah seharusnya menjadi keutamaan ekonomi. Melalui semakan semula kadar tol, pengguna seharusnya membayar lebih rendah dan ‘ia sekurang-kurangnya permulaan’ dalam mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Akhir minggu lalu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bertindak sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata, pihaknya akan membuat pengumuman berkenaan konsesi tol seluruh negara pada minggu ini.

“Keputusan akan dilakukan secepat mungkin kerana mereka (pemegang kepentingan) sepatutnya perlu kembali kepada kami minggu hadapan. Usaha adalah sangat, sangat tegang buat masa sekarang,” ujar Zeti mengenai hal ini.