Di dalam perkembangan terbaru berkaitan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bahawa agensi berkenaan merupakan antara beberapa lagi agensi kerajaan yang akan dibubarkan. Ini bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan negara, lapor Bernama.

Beberapa agensi lain yang dimaksudkan ialah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Pusat Kreativiti dan Innovasi Global Malaysia (MaGIC), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

“Kebanyakan institusi-institusi ini bukan sebahagian daripada kerajaan. Dan tugas mereka sepatutnya memberikan nasihat kepada kerajaan. Semua ini akan dibubarkan,” jelas Tun M.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencadangkan supaya SPAD diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan. Dengan perkembangan terbaru ini, kemungkinan besar peranan dan fungsi agensi itu akan berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan sendiri.

Menurut Tun M, perihal pembubaran semua agensi yang dinyatakan ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet sebagai sebahagian langkah untuk mengurangkan beban hutang negara yang telah mencecah RM1 trilion di bawah kerajaan terdahulu.