Ferrari SP38 telah didedahkan oleh pengeluar supercar Itali berkenaan, yang dibina hanya sebuah untuk hanya seorang pelanggan di bawah program istimewa Ferrari One-Off. Kereta tersebut diserahkan kepada pemiliknya di Litar Fiorano iaitu litar milik Ferrari sendiri, dan ia terus di pandu di litar berkenaan selepas itu.

Kereta ini diasaskan dari casis dan juga sistem mekanikal Ferrari 488 GTB. Jadi ia masih dijana enjin 3.9 liter V8 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 670 PS pada takat 8,000 rpm dan tork maksima 760 Nm pada takat 2,000 rpm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa 8.3 saat. Kelajuan maksima pula dicatatkan pada 330 km/j.

Badan kereta ini direka semula oleh Ferrari Design Center dan diinspirasikan dari model lagenda Ferrari iaitu F40. Lampu hadapan SP38 ini direka setirus yang mungkin, manakala lampu nyalaan siang dialihkan bagi menguatkan karekter serta fungsinya pada bampar hadapan yang juga lebih nipis, seakan model 308 GTB.

Beralih ke sisi, liang udara sisi pada 488 GTB tidak kelihatan pada SP38 ini. Garis badan juga kelihatan berbeza dimana SP38 ini kelihatan lebih tajam dengan rekaan tirus dari hadapan dan mengembang ke belakang.

Pengaruh rekaan F40 pula jelas pada bahagian belakang dimana bahagian cermin penutup enjin direka dengan tiga liang melintang, spoiler belakang bersepadu, dan juga rekaan pada lampu belakang. Tiada gambar untuk bahagian kabin, namun menurut Ferrari ia telah direka dengan kemasan Tailor Made penuh istimewa hanya untuk kereta ini.

Ferrari SP38 ini akan membuat kemunculan awam pertamanya pada Sabtu ini 26 Mei 2018, dipamerkan di Concorso d’Eleganza Villa d’Este.