Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu akan tiba di M’sia?

Barisan Mercedes-AMG semakin berkembang tahun ini apabila varian GT Coupe 4-pintu diperkenalkan di Geneva Motor Show pada Mac lalu. Walau pun belum sahih model ini bakal tiba di negara kita, namun entri yang dimuatnaik oleh Mercedes-Benz Malaysia menerusi Instagram baru-baru ini bagai memberikan isyarat, model prestasi ini mungkin tiba di sini.

Malahan entri terbabit juga menampilkan beberapa foto GT Coupe 4-pintu dengan kapsyen “more space, more power, more goose pimples” walau pun tidak menyebut adakah model tersebut bakal tiba di negara ini. Berdasarkan laman Instagram berkenaan, entri terakhir mengenai model berkenaan adalah dibuat pada 15 Mac lalu. Mengundang spekulasi sungguh kan…

Mengenai model ini, terdapat beberapa versi dihasilkan, namun untuk sebuah jentera dengan lencana Mercedes-AMG, model asasnya dijana enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris yang diambil dari CLS 53. Jadi, model Mercedes-AMG GT 53 4Matic+ ini berupaya menjana 429 hp (435 PS) pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 1,800 hingga 5,800 rpm.

Seperti juga pada CLS 53, model ini turut diberikan motor starter-alternator EQ Boost berkuasa 22 PS/250 Nm (sebahagian dari sistem elektrikal 48 V kereta ini) yang diletakkan antara enjin dan kotak gear sembilan-kelajuan automatik AMG Speedshift TCT 9G.

Sistem tersebut turut dihubungkan kepada pemampat tambahan elektrik (seperti supercharger) yang membantu pengecas turbo konvensional pada takat rpm rendah. Kesemua sistem ini membolehkan jentera berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j.

Selain itu, Mercedes-AMG GT 4-Door turut hadir dengan versi yang dijana enjin 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll. Enjin tersebut turut diberikan sistem nyah-aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G.

Dua versi talaan kuasa diberikan untuk enjin ini. Yang pertama adalah versi Mercedes-AMG GT 63 4Matic+ yang mampu menjana 577 hp (585 PS) pada takat 5,500 higga 6,500 rpm dan tork maksima 800 Nm bermula 2,350 hingga 5,000 rpm. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 310 km/j.

Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan versi Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ yang dijana enjin sama tetapi menghasilkan kuasa 630 hp (639 PS) bermula 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa berkenaan membolehkan jentera ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 315 km/j.

GALERI: Mercedes-AMG GT 4-Door Coupe

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required