Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mendedahkan panduan harga bagi pakej servis untuk kenderaan keluaran jenama itu, selari dengan pelaksanaan kadar 0% GST bermula hari ini. Ia juga selari dengan kemaskini harga barisan model Volkswagen yang diumumkan sebelum ini.

Sebagai contoh, servis berkala bagi tempoh 12-bulan/15,000 km bagi Polo 1.6 sebelum ini ialah RM452.94, tetapi tanpa GST, ia akan berkurangan sedikit kepada RM427.30. Begitu juga halnya dengan model Tiguan 1.4 TSI, yang hanya akan dikenakan RM503.10 berbanding RM533.29 sebelum ini.

Panduan harga servis ini bertindak selaku rujukan kepada para pemilik untuk mengetahui anggaran kos penyelenggaraan kenderaan mereka bagi satu tempoh waktu tertentu, dan ini termasuk kos bagi alat ganti dan upah buruh.

Ketika ini, semua model Volkswagen hadir dengan program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 45,000 km (yang mana dahulu), sebagai tambahan kepada jaminan lima-tahun dan bantuan tepi jalan yang juga ditawarkan untuk tempoh lima-tahun.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menggalakkan pemilik kenderaan jenama itu yang perlu menghantar kenderaan mereka untuk servis dalam masa terdekat untuk membuat temujanji secepat mungkin serta memanfaatkan tempoh 0% cukai bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Jika anda mahu meneliti panduan senarai lengkap pakej servis dan kemaskini harga yang dilakukan, layari laman web rasmi Volkswagen Malaysia.