Musim perlumbaan Isle of Man TT 2018 yang baru sahaja dalam pusingan kelayakan sudah pun meragut satu nyawa. Perlumbaan yang sememangnya dikenali sebagai antara perlumbaan paling bahaya dalam dunia ini terus mengambil korban, dan tahun ini mangsanya adalah Dan Kneen, pelumba berusia 30 tahun daripada pasukan Tyco BMW.

Kneen yang berasal dari pekan Onchan di Isle of Man terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi di bahagian Churchtown semasa sesi kelayakan, dan dilaporkan meninggal di tempat kejadian. Pada hari sebelumnya, beliau sudah mencatat masa yang pantas dan nampak seperti berpotensi untuk menjadi juara dalam kategori Superbike.

Kneen bukanlah nama baru dalam perlumbaan motosikal, malah beliau sudah pernah berlumba untuk pelbagai pasukan termasuk Cookstown Burrows Engineering, Mar Train Yamaha dan Padgetts Honda. Dalam perlumbaan TT ini, pencapaian terbaik beliau adalah pada tahun 2017, dengan mendapat tempat ketiga dalam kategori Superstock.