Bakal muncul nanti ialah siri nombor plat yang lebih unik tidak lama lagi, apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan kementeriannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan siri plat bagi negeri seperti Selangor, Perak, Johor dan lain-lain. Ini berikutan pengenalan siri nombor plat khas “Malaysia” yang baru diumumkan hari ini.

Jika anda seorang rakyat Selangor dan memang sudah lama menantikan ‘SELANGOR 1’ untuk menghiasi plat pendaftaran kenderaan anda, nantikan masanya apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadikan itu satu kenyataan. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, berkuatkuasa serta merta, setiap pembelian plat nombor haruslah menerusi JPJ (dan bukannya NGO) kerana ia adalah salah satu bentuk sumber pendapatan kerajaan.

Bagaimana pun, Loke tidak mendedahkan siri plat untuk negeri yang mana yang bakal ditawarkan terlebih dahulu, namun berkata pengenalannya hanya akan bermula selepas siri plat “Malaysia” selesai pelaksanaannya (keputusannya akan diumumkan pada 23 Ogos 2018).

Tambahnya lagi, siri plat nombor mengikut negeri ini akan dilaksanakan secepat mungkin iaitu pada September atau Oktober ini. Bagi pihak yang berminat, bolehlah membidanya menerusi dalam talian, di mana kementerian pengangkutan bercadang untuk melaksanakan sistem bidaan elektronik bagi menggantikan sistem manual sedia ada.