PLUS Berhad (PLUS) telah memaklumkan laluan susur yang baharu untuk ke arah utara di Persimpangan Bertingkat Seremban dijangka mula dibuka kepada pengguna lebuh raya PLUS bermula jam 3.30 petang pada 7 Jun ini.

Laluan susur sepanjang 1.3 kilometer yang bernilai RM12 juta tersebut dijangka dapat memberi sedikit kelegaan buat kira-kira 18,000 pengguna harian di Plaza Tol Seremban, terutamanya kenderaan yang datang dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang.

Dengan pembukaan laluan susur terbabit, kenderaan dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang tidak perlu lagi melintas Jalan Sungai Ujong untuk ke Plaza Tol Seremban (Arah Utara) yang sedia ada. Sebaliknya, mereka boleh terus menggunakan laluan susur baharu ini untuk ke arah Nilai dan Kuala Lumpur. Sekaligus, ia dijangka mengurangkan sedikit kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Ujong dan di Persimpangan Bertingkat Seremban.

Projek pembinaan jalan susur baharu ini telah bermula pada Januari 2017 dan siap sepenuhnya pada 31 Mei lalu. Ia turut dilengkapi dengan sebuah plaza tol masuk berkapasiti tiga lorong termasuk lorong SmartTAG dan lorong Touch ‘n Go serta laluan khas motosikal.

Pembukaan rasmi laluan susur baharu ini dijangka bakal disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Abdul Razak Jaafar pada esok pagi sebelum ia dibuka kepada pengguna jalan raya.