Berikutan harga baru bagi bahan api RON 97 yang diumumkan oleh KPDNKK hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di dalam satu kenyataan hari ini sekali lagi menekankan bahawa harga bagi bahan api RON 95 dan diesel akan kekal seperti sebelum ini.

Ini bermaksud, RON 95 masih akan dijual pada harga RM2.20 seliter, manakala diesel pula pada harga RM2.18 seliter. Bagaimanapun, bermula hari ini, petrol RON 97 telah dijual mengikut harga apungan semasa – dan akan dikemaskini seminggu sekali – menjadi RM2.66 seliter hingga 13 Jun nanti, naik 19 sen berbanding sebelum ini (yang dijual pada harga RM2.47 seliter).

Dalam perkembangan yang sama juga, Lim menjelaskan bahawa kerajaan akan menanggung subsidi bagi RON 95 ketika ini. “Kerajaan persekutuan akan menanggung subsidi sebanyak 33 sen bagi harga runcit RON 95 dan diesel untuk minggu ini. Tanpa subsidi, harga RON 95 sebenar ialah RM2.53 seliter, manakala diesel pula RM2.51 seliter,” jelas Lim seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.

Memetik laporan itu lagi, Lim menjelaskan harga minyak mentah dunia kini telah mencecah US$76 (RM302) setong sementara produk petrol dan diesel yang telah ditapis kini dijual antara US$87 (RM346) dan US$88 (RM350) setong.

Lim juga memaklumkan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion sehingga hujung tahun ini untuk membiayai kos subsidi bagi RON 95 dan diesel berkenaan.