Model jelajah sport keluaran MV Agusta kini ditambah dengan satu lagi varian istimewa yang dipanggil sebagai Turismo Veloce 800 Lusso SCS. Huruf di hujung nama model tersebut membawa maksud Smart Clutch System, dan ini adalah kelengkapan istimewa pada model baru tersebut.

MV Agusta mendakwa, SCS ini adalah eksklusif untuk motosikal mereka, dan pertama kali digunakan pada motosikal produksi, tetapi sebenarnya ia dibangunkan bersama Rekluse, yang sememangnya sudah terkenal dengan pengeluaran klac anti-mati terutamanya untuk motosikal offroad.

Dengan adanya klac SCS ini, pengguna boleh memilih sama ada mahu menggunakan klac di tangan ataupun terus saja memasukkan gear tanpa menarik apa-apa tuil. Selain itu, klac ini juga dapat mengelakkan enjin mati apabila transmisi masih dalam gear, dan motosikal terhenti sambil penunggang tidak menarik klac.

Menambahkan lagi keistimewaannya, MV Agusta telah memasang penutup klac lutsinar, membolehkan orang melihat ke bahagian dalam klac, dan ia juga disertakan dengan sistem quickshift elektronik naik dan turun MV EAS 2.0.

Bahagian lain motosikal ini masih sama seperti Turismo Veloce 800 Lusso yang lain, iaitu menggunakan enjin tiga silinder 798 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 110 hp dan 80 Nm tork. Berat keseluruhan model ini adalah 192 kg dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

Pada bahagian elektronik, model ini juga dilengkapi dengan antaranya empat mod kuasa, lapan tahap kawalan cengkaman, brek ABS two-channel dan paparan meter digital sepenuhnya. Suspensi pula menggunakan unit daripada Sachs di depan dan belakang.