Selepas beberapa bulan cuba membuat keputusan, akhirnya Red Bull Racing mendedahkan secara rasmi siapakah pembekal enjin untuk perlumbaan Formula One musim 2019 – ia adalah Honda. Pasukan ini telah menandatangani perjanjian selama dua tahun dengan Honda, dan tidak akan lagi menggunakan enjin dari Renault.

Perjanjian ini adalah sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Toro Rosso untuk musim ini, dan dua pasukan ini akan berlumba menggunakan unit kuasa berspesifikasi sama pada tahun hadapan. Menurut ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner, perjanjian ini adalah antara usaha pasukan untuk mengejar kemenangan keseluruhan dalam Formula One.

“Selepas penilaian dan pertimbangan yang teliti, kami yakin kerjasama dengan Honda ini adalah satu hala tuju yang betul untuk pasukan. Kami kagum dengan komitmen Honda terhadap F1 dan pelbagai peningkatan lain yang ditunjukkan oleh mereka dalam beberapa tahun ini bersama pasukan Scuderia Toro Rosso,” tambah Horner.

Pada masa sama, Red Bull juga secara umum menyatakan kehampaan terhadap kekurangan prestasi unit kuasa Renault mereka, yang dikatakan adalah punca utama pasukan bergelut untuk bersaing dengan Mercedes dan Ferrari. Dengan Honda, mereka berharap dapat memberi saingan yang lebih hebat.

Presiden Honda, Takahiro Hachigo pula berkata, “Setelah mempunyai hubungan yang baik dengan Scuderia Toro Rosso, kami memutuskan untuk menyambung penglibatan dalam F1 dengan kerjasama bersama pasukan lain dalam keluarga Red Bull iaitu Aston Martin Red Bull bermula 2019. Melalui dua pasukan, kami boleh mendapat data yang dua kali ganda lebih banyak.”