Chevrolet telah membangkitkan kembali plat nama lama untuk SUV saiz sederhana moden – yang diletakkan di antara model Equinox dan Traverse bagi barisan jenama ini untuk pasaran Amerika Utara. Blazer 2019 direncana untuk bersaing hebat dengan Ford Edge dan Jeep Grand Cherokee apabila ia berada di pasaran pada awal tahun hadapan.

Dua pilihan enjin ditawarkan untuk SUV lima-tempat duduk ini, yang turut hadir dengan versi pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda – dengan unit asas dipadankan bersama enjin Ecotec 2.5 liter empat-silinder (193 hp/255 Nm), serta 3.6 liter V6 (305 hp/365 Nm). Kedua-duanya adalah enjin suntikan-terus, turut menampilkan teknologi berhenti/mula, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan.

Barisan model termasuk dengan varian spesifikasi tertinggi Premier, yang turut didatangkan dengan gril unik dan kekemasan krom tambahan untuk luaran, serta versi yang lebih sporty RS, yang mudah dibezakan dengan unsur berwarna hitam.

Berkenaan dengan rekaannya, ia menampilkan lampu utama HID yang diposisikan sedikit rendah, lampu belakang LED dengan dwi-elemen, ekzos dengan dwi-corong dan spoiler belakang. Turut diberikan beberapa pilihan untuk roda – standard didatangkan dengan aloi 18-inci, dan unit 21-inci bagi RS dan Premier.

SUV ini turut mendapat beberapa pilihan warna dan kekemasan bagi dalaman, dan elemen yang menarik termasuk pengecas tanpa wayar, enam USB port dan kota penyimpanan dengan pengunci elektronik yang mampu memuatkan beg tangan bersaiz kecil, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan Valet Mode. Turut ditampilkan termasuklah sistem Chevrolet Infotainment 3 dengan skrin sesentuh berwarna lapan-inci bersama ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto dan LTE Wi-Fi.

Blazer baharu ini turut menawarkan sistem pengurusan kargo, tang menampilkan sistem rel dan pagar kargo untuk membantu melindungi barangan kecil yang diletakkan di bahagian kargo. Selain itu, tempat duduk barisan-kedua yang boleh dilaraskan juga boleh dibaringkan rata, Blazer turut menawarkan dek belakang dengan kapasiti 1,818 liter untuk ruang kargo. Pintu belakang larasan berkuasa bebas-tangan juga ditampilkan bagi kemudahan akses.