Ini satu lagi model facelift terbaru yang akan masuk pasaran tempatan sedikit masa lagi – Mazda CX-3. Dalam perkembangan terbaru, pengedar jenama itu, Mazda PJ Taman Megah melalui laman Facebook telah mula mengeluarkan teaser bagi crossover segment B itu secara terbuka. Dan, jika anda ingin mendekati model ini sebelum pelancarannya, Bermaz akan mempamerkannya bermula 27 Jun hingga 1 Julai 2018 di One Utama.

Selain itu, anggaran harga bagi versi terbaru model berkenaan juga sudah didedahkan oleh Bermaz sendiri; iaitu RM121,134 tanpa insurans, dan pada kadar GST 0%. Oleh itu, Mazda CX-3 facelift ini akan menjadi lebih murah daripada harga versi semasanya yang masih dijual ketika ini pada harga RM126,775.

Senarai sebahagian daripada spesfikasi yang ada setakat ini juga turut memberi petunjuk bahawa model baru ini akan dilengkapi ciri Blind Sport Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Bagaimanapun, kelengkapan bantuan pemanduan i-ActivSense seperti Smart City Braking Support (SCBS) tidak dinyatakan.

Model terbaru ini pertama kali diperkenalkan di New York awal tahun ini. Ia menggunakan enjin 2.0 liter SkyActiv-G empat-silinder yang dipertingkat dengan talaan baru, serta disifatkan lebih jimat minyak. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 148 hp dan 201 Nm tork. Transmisi pula menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan – dan tak lupa juga sistem G-Vectoring.

Antara pembaharuan lain yang dilakukan ialah talaan semula pada bahagian stereng dan suspensi yang digunakan untuk mengoptimumkan penyerapan hentakan model terbabit serta meningkatkan maklum balas agar lebih cekap.

Bermaz juga ada menawarkan aksesori tambahan sebagai pilihan kepada pelanggan yang berminat. Ini termasuk Sistem Navigasi Mazda (RM1,198.11) dan juga filem keselamatan SkyTint (RM1,792.45). Mazda CX-3 facelift ini juga didatangkan dengan jaminan lima tahun (atau 100,000 km, yang mana dahulu) dan penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun (atau 60,000 km, yang mana dahulu).