Selain China, BMW 1 Series Sedan F52 juga telah dilancarkan di Mexico. Model 1 series dilancarkan buat pertama kalinya pada Februari tahun lalu dan menggunakan platform pacuan roda-hadapan UKL yang dikongsi bersama SUV X1.

Untuk Mexico, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, kedua-duanya dilengkapi pakej Sport Line. Varian pertama, 118iA, ditawarkan pada harga 489,900 Mexico peso (RM98,844) dan didatangkan dengan enjin petrol 1.5 pengecas turbo tiga-silinder.

Penjana ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 136 hp dari 4,400 hingga 6,000 rpm dan tork 220 Nm dari 1,400-4,300 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan. Menurut BMW, 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 9.4 saat dan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 212 km/j.

Bagi varian tertinggi pula, 120iA, ia dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 192 hp dari 5,000-6,000 rpm dan tork 280 Nm dari 1,350-4,600 rpm. Turut dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan (dengan fungsi launch control), membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.5 saat. Masih pacuan roda-hadapan, 120iA mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dan ditawarkan apda harga 569,900 pesos (RM114,984).

Bergantung pada varian terpilih, senarai kelengkapan termasuk roda stereng balutan kulit, upholstery kulit Sensatec, paparan infotainmen 6.5-inci untuk sistem iDrive, lampu utama halogen atau LED (dengan lampu nyalaan siang LED), roda aloi 17-inci (Style 549), tempat duduk belakang yang boleh dipisah secara 40:20:40 dan bumbung berkaca panoramik.

GALERI: BMW 1 Series, spesifikasi China