Diinspirasikan dari McLaren F1 GT klasik, syarikat penala Lanzante Motorsports bakal mendedahkan rekaan terbaharu mereka, P1 GT Longtail, di Goodwood Festival of Speed tahun ini. P1 GT ini dilaporkan dibiayai oleh pelanggan kaya dari Timur Tengah, dan syarikat ini bersedia untuk mengeluarkan lebih banyak unit sekiranya ada permintaan.

Perincian mengenai modifikasi P1 ini masih tersimpul rapi namun imej teaser yang dipamerkan ini menunjukkan banyak kerja yang lebih signifikan terhadap pengubahsuaian badannya. Hujung hadapan yang lebih panjang, dapra yang bercorong, hud yang lebih menonjol dan wing yang besar di belakang.

Di bawah bonetnya, dijangka ia menerima lebih kuasa dari enjin 3.8 liter biturbo hybrid, dengan hamburan 913 PS dan tork 900 Nm. Sebelum ini, Lanzante pernah mengeluarkan P1 GTR versi jalanan dan membina P1 LM dengan kuasa 986 hp, maka tidak hairanlah jika P1 GT pastinya memilik daya tarikan yang lebih menguja.