Pada awal tahun ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan bakal melancarkan Volkswagen Marketplace, dan menerusi laman web rasmi jenama ini, ternyata ia sedang menanti detik pelancarannya. Ya, memang tak lama lagi, ia bakal berada di Malaysia.

Ketika sesi pertemuan dengan pihak media pada Januari lalu, VPCM mendedahkan Volkswagen Marketplace adalah platform jualan atas talian untuk kereta edisi terhad/istimewa berdasarkan model semasa yang ditawarkan. Ini merupakan inisiatif yang lebih kurang sama dilakukan oleh MINI Malaysia, yang menjual model edisi istimewa menerusi tempahan atas talian, seperti Clubman Sterling Edition.

Idea untuk menjual kereta menerusi pasaran atas talian sebenarnya bukanlah perkara baharu bagi VPCM. Pada Disember tahun lalu, VPCM dengan kerjasama Lazada telah menjual Beetle edisi terhad iaitu sempena dengan jualan Lazada Online Revolution – kesemua unit yang ditawarkan terjual dalam tempoh 20 minit!

Walau bagaimana pun, setakat ini laman web terbabit belum mendedahkan mana-mana model yang bakal ditawarkan menerusi Marketplace. Jadi kenalah kita nantikan detik pelancarannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model-model yang bakal ditawarkan itu.