Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) pusingan ketiga akan berlangsung hujung miggu ini, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Dengan penyertaan seramai 200 peserta, dengan jangkaan 5,000 orang datang untuk meraikannya, MSF kini merupakan acara perlumbaan kereta yang dianjurkan secara terbuka yang terbesar di Malaysia.

Menarik pada pusingan ketiga ini, ia turut akan menyaksikan penyertaan pelumba dari negara jiran, Thailand. Sebanyak 13 kategori dipertandingkan, dan penganjurannya bagi pusingan ini disifatkan bakal memberikan lebih banyak aksi menarik yang mendebarkan kepada penonton.

Bagi kategori Street 1600, ia akan mengimbau kenangan lama dengan penglibatan kereta-kereta yang popular ditahun-tahun 1990an – dari buatan pengeluar yang sudah tidak asing lagi seperti Honda, Toyota, Proton dan Nissan. Pendahulu carta kedudukan, Philip Tang dari JDM Racing yang memandu sebuah Honda Civic sudah pasti akan mencuri tumpuan dengan aksi pemanduannya.

Walaupun selesa di depan, Philip sebenarnya sedang menerima cabaran sengit dari peserta lain, misalnya oleh Zuhaidi Ishak dari pasukan Z Garage yang turut menggunakan jentera Honda. Begitu juga oleh Hazrin Khaidi dari JMS Tuner yang memandu sebuah Toyota Levin.

Kategori Super Production juga tidak kurang hebatnya. Dengan penyertaan kereta model baru seperti Honda Jazz, Toyota Vios dan Perodua Myvi, ia punya tarikan tersendiri. Roni Risman dari pasukan Piston Project yang menggunakan Honda Jazz merupakan pendahulu kejuaraan ketika ini. Meskipun agak selesa berada di depan dari segi pungutan mata, Sobree dari Thailand Corredor Racing yang menggunakan Toyota Vios mula mendapat rentak untuk memburu kemenangan.

Kategori Racecars Open menjadi yang paling menari dan sengit untuk diperhatikan. Dalam pusingan kedua sebelum ini, Thilak Sharma bergandingan dengan Alif Hamdan yang menggunakan Proton Satria 4WD Turbo telah mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan. Dengan catatan masa terpantas 2 minit 19 saat, ia cukup memberikan “amaran” buat para peserta lain.

Meskipun begitu, kepantasan jentera lain yang tidak menggunakan enjin bernadikan turbo juga sangat pantas. Azlan Malik, Shazull, Shamir, Hasrul dan ramai lagi yang menggunakan jentera Honda juga sangat pantas di dalam litar.

Mereka juga dikhabarkan sudah meningkatkan prestasi kereta masing-masing untuk memberi tekanan kepada Thilak dan Alif. Disebabkan faktor kepantasan yang mengujakan, ia telah menarik perhatian peserta dari Thailand, Weerakarj Dokchan dari World Pumps Corredor Racing yang menggunakan jentera Mitsubishi Evolution 9 untuk ikut serta. Dengan kehadiran beliau, ia sudah pasti akan merancakkan lagi aksi persaingan dalam kategori ini yang sudah terbukti sangat sengit.