Kadamaian yang terletak di daerah Kota Belud menjadi lokasi pertama untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah untuk memulakan projek rintis pembinaan jalan raya dengan menggunakan teknologi terkini berasaskan getah.

Menurut Menterinya Ewon Benedict, projek rintis itu akan melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang dua kilometer dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas agensi terlibat iaitu Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Industri Getah Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan pejabat daerah Kota Belud selesai mengadakan perbincangan teknikal, laporan Bernama.

“Pelaksanaan projek rintis berkenaan adalah bukti kerajaan negeri sekarang begitu komited dalam usaha menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar. Saya berharap projek rintis pembinaan jalan raya berasaskan getah di Kadamaian ini akan dapat disiapkan menjelang tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sambungnya lagi, pembinaan jalan raya berasaskan getah diperkenalkan ini adalah untuk menaik taraf jalan raya di luar bandar menggunakan teknologi itu termasuk melihat kemungkinan keperluan menggunakannya dalam menyelenggara jalan-jalan utama di Sabah.

Di Semenanjung, kerajaan pimpinan Barisan Nasional sebelum ini telah mula melaksanakan projek pembinaan jalan raya dengan teknologi penurapan jalan raya melalui kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) sejak tahun lalu. Jalan Persekutuan FT 001 dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer.