SUV kompak popular Jepun, Suzuki Vitara telah menerima kemaskini wajah baru, serta penawaran pilihan enjin baru serta tambahan ciri-ciri keselamatan bagi versi terkininya. Tidak lupa juga, sedikit perubahan bagi aspek rekaan luaran ada ditampilkan.

Enjin baru yang dimaksudkan ialah unit 1.0 liter Boosterjet turbocaj petrol yang sebelum ini belum pernah ditawarkan untuk Vitara. Ia pertama kali digunakan pada model S-Cross facelift, yang menjana sebanyak 115 PS. Enjin ini datang bagi model dengan trim SZ4 dan SZ-T.

Enjin 1.4 liter yang lebih besar pula adalah untuk varian SZ5, menghasilkan 140 PS dan 220 Nm tork pada 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Transmisi pula belum disahkan. Jika ia sama dengan model S-Cross, maka enjin 1.0 liter akan menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual manakala enjin 1.4 liter pula dengan gear automatik enam-kelajuan.

Vitara baru ini juga menerima peningkatan ciri keselamatan yang lebih baik. Varian SZ5 dilengkapo dengan Dual Sensor Brake Support (atau AEB), Lane Departure Warning and Prevention, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Monitor dan amaran lintasan trafik di belakang.

Lain-lain, model ini hanya melibatkan perubahan kecil, antaranya seperti bahagian atas gril baru, DRL LED, lampu belakang LED, rekaan rim baru dan material lembut untuk bahagian luaran papan pemuka.