Kelibatnya meraih perhatian ramai. Bukan setakat deruman enjinnya, bahkan penampilan luarannya membuatkan orang di sekeliling lekas-lekas memerhatikannya. Itulah keistimewaan paling nyata bagi Mercedes-Benz C 300 Cabriolet yang cukup bergaya dan serba sporty penampilannya. Ibarat jejaka maskulin, macho, dan hensem; mungkin boleh kalah ‘abah’ YB Khairy Jamaluddin, si ‘tall, dark and handsome’ mahu pun YB Syed Saddiq yang cute itu.

Tetapi adakah gaya yang diserlahkan seiring sejalan dengan prestasinya? Mari kita bongkarkan selanjutnya mengenai C 300 Cabriolet ini.

Redakan dulu keterujaan sebelum kita bercerita bab prestasi. Mari jamu mata melihat penampilan serba bergaya, mewah, elegan, sofistikated dan sporty yang diserlahkan menerusi bahagian luaran dan dalamannya.

Bahagian hadapannya diserikan dengan lampu utama projektor LED adaptif dengan Bantuan Lampu Tinggi yang melunjur ke atas yang mengapit gril berlian kemasan krom, turut ditampilkan lampu nyalaan siang LED yang melekat pada lampu utama dan tiada lampu kabus hadapan.

Profil sisinya juga cukup menyerlah dengan garisan aerodinamik, cermin sisi dengan indikator membelok serta roda aloi pelbagai-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar bersaiz 225/40 R19 untuk hadapan dan 225/35 R19 di belakang.

Melewati bahagian belakangnya, sentuhan penuh menggiurkan turut mempengaruhi termasuk dengan lampu kombinasi LED berbentuk bujur dengan but yang sedikit tonggek. Argh! Seksi juga C 300 Cabriolet ini. Dua tip ekzos di kiri dan kanan serta lampu kabus serta bampar bersama kemasan krom turut membantu menyerlahkan lagi imej belakangnya.

Menjengah bahagian kabinnya, sentuhan serba mewah dan elegan menjalari segenap ruang. Papan pemukanya sama seperti versi sedan, ia dibaluti kulit Artico sepenuhnya, mata terus tertancap pada skrin paparan COMAND Online dengan pad sesentuh bersaiz 8.4-inci yang turut bertindak sebagai infotainmen, selain memaparkan maklumat pemanduan dan kondisi kenderaan.

Door card juga telah direka semula dengan kemasan metal, senada dengan hiasan pada konsol tengah, selain turut menampilkan balutan kulit yang melengkapkan lagi gaya mewahnya.

Selain itu, pendingin hawa dwi-zon automatik dengan tiga corong pada konsol tengah dan dua lagi di hadapan pemandu dan penumpang hadapan. Malah corong pendingin hawa juga ditempatkan untuk penumpang belakang.

Ciri lain yang turut ditampilkan termasuklah stereng berkuasa tiga-jejari dengan butang kawalan, pedal gear dan pedal penukar gear di belakang roda stereng, butang push start, tombol kawalan bagi skrin paparan pada konsol tengah, sistem bunyi sekeliling Burmester dengan 13-pembesar suara, 590 watt, pencahayaan ambien dengan tiga pilihan warna, brek parkir elektronik, jam analog, sistem wangian Air Balance dan dua soket kuasa di hadapan.

Tempat duduk bucket balutan kulit Artico sepenuhnya juga ditampilkan dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori. Sama ada sebagai pemandu atau pun penumpang, memang cukup selesa dengan tempat duduk ini. Ia seakan memeluk erat tubuh, melekat dan terus menghayati perjalanan dengan penuh selesa.

Jika inginkan sedikit elemen praktikal, sebenarnya seperti mana model di bawah C-Class Cabrio, C 300 Cabrio ini juga jauh lebih bagus berbanding mana-mana model SLC. Ia memilik kapasiti empat tempat duduk dengan tempat duduk belakang juga sangat selesa termasuk apabila bumbung tertutup rapi.

Bumbung fabrik boleh dibuka dan ditutup dengan hanya 20 saat. Ia juga boleh dibuka tatkala jentera sedang dipacu dalam kelajuan sehingga 50 km/j. Apabila ditutup, ia terus dimasukkan ke ruang but, sekaligus membuatkan kapasiti berjumlah 360 liter (apabila bumbung dibuka) menjadi 285 liter.

C 300 Cabriolet dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm pada 1,300 rpm. Penjana kuasa ini digabungkan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC, yang mampu memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan kelajuan tertinggi mampu memuncak pada 250 km/j.

Enjin ini biar pun tidak memberikan angka kuasa yang nampak menguja, namun hakikatnya, prestasi yang diserlahkan jarang menghampakan. Pacuannya tidak teragak-agak menghamburkan kuasa dari rev yang rendah hingga ke puncaknya.

Malahan deruman enjinnya juga meledakkan bunyi yang menyeronokkan. Ia bukan bunyi detakan menandakan kekurangan enjin mahu pun kotak gear, tetapi bunyi yang sangat alami. Ia diibaratkan, jantung yang kecil tetapi mampu melaksanakan degupan yang luar biasa. Apatah lagi apabila pengecas turbo mula bertindak, maka adrenalin kian rancak membuak!

Lima pemanduan turut disertakan bagi menawarkan ‘pengubahsuaian’ rentak enjin, kotak gear dan karakteristik stereng. Jika memilih mod Sport atau Sport+, enjin bertindak lebih tangkas, manakala stereng menjadi sedikit berat. Sementara mod Eco dan Comfort pula memberikan pacuan yang sederhana namun masih bertenaga.

Walau pun pilih mod Sport atau Sport+, jangan pula mengharapkan respon enjin umpama jantung jentera di litar lumba. Ia bukan sportcar tapi masih diperakui sebagai jentera yang seronok dikendalikan.

Sedikit kelemahan yang dapat dirasa, apabila jentera dipacu merentasi selekoh, karakter stereng masih terasa kemas dan tepat tetapi ia tidak begitu ‘menyatu’ dengan tayar. Olengan sedikit terasa terutamanya dalam kelajuan yang agak tinggi.

C 300 Cabrio ini juga ditampilkan dengan casis AMG Sport Suspension yang direndahkan sebanyak 15 mm. Ia bertindak sungguh efektif dan membantu dalam memberikan pengendalian yang lebih bersifat maskulin sejati. Juga terasa sedikit olengan badannya terutama ketika merentasi permukaan jalan yang beralun atau tidak rata, terutamanya dirasai oleh penumpang di belakang.

Mungkin ada yang bertanya, adakah bumbung fabrik ini akan membuatkan bunyi luar mampu menembusi ruang kabin? Jawapannya; tidak. Ini kerana pelbagai-lapisan fabrik digunakan untuk bumbung tersebut malahan ia mengandungi material penebat bunyi, sekaligus meminimakan kemasukan bunyi bising dari luar ke dalam kabin.

Bukan setakat bunyi bising, bahkan ia juga menghalang haba panas daripada menyerap masuk ke dalam kabin. Nah! Ternyata Mercedes-Benz cemerlang dengan teknologinya yang tersendiri.

Untuk aspek keselamatan, jentera ini turut dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan, Sistem Brek Sendiri dengan Collision Prevention Assist Plus, Amaran Pelanggaran dan ISOFIX.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan bantuan pemanduan seperti navigasi, Kawalan kelajuan Pasif, Bantuan Mula Mendaki, pengesan parkir hadapan dan belakang (enam bagi setiap satunya), kamera undur dan juga parkir auto.

Bagi pasaran Malaysia, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM418,803.34 (tanpa insurans). Jadi dengan harga yang menghampiri setengah juta ini, pastinya ia mampu menterjemahkan semangat pemanduan yang menyeronokkan, selain pengendalian yang menguja. Apa yang pasti, ia memang cukup bergaya. Bukankah gaya itu lambang keunggulan?