BMW Malaysia telah melancarkan secara rasmi BMW i8 Coupe baru, beberapa bulan selepas kereta sports hibrid petrol-elektrik yang diperbaharui tersebut membuat penampilan global pertama November tahun lalu bersama versi roadster.

Perubahan paling besar bagi model baru ini adalah penggeraknya, di mana bateri yang digunakan kini mempunyai kapasiti sel lebih tinggi iaitu 34 Ah (sebelum ini 20 Ah) dan kapasiti tenaga juga lebih tinggi – 11.6 kWh berbanding 7.1 kWh sebelum ini. Hasilnya, jarak gerak menggunakan elektrik sahaja meningkat kepada 55 km, ataupun 50% lebih berbanding model sebelumnya.

Penambahbaikan turut dilakukan pada motor elektrik, di mana unit yang masih lagi disambung kepada kotak gear automatik dua kelajuan ini sekarang mampu menghasilkan kuasa 141 hp (105 kW), iaitu peningkatan sebanyak 12 hp (9 kW).

Walaupun bahagian elektrikal telah dipertingkat, enjin petrol tiga silinder 1.5 liter BMW TwinPower Turbo padanya masih lagi sama, dengan kemampuan 228 hp dan 320 Nm tork. Ia disampaikan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic enam kelajuan.

Digabungkan kuasa daripada enjin ini dengan kuasa elektrik, i8 baru ini mampu menghasilkan 369 hp, dan membolehkan ia memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j dalam masa cuma 4.4 saat, dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula terletak pada 1.8 l/100 km dan mengeluarkan 42 g/km karbon dioksida.

Untuk bahagian luarnya, i8 baru ini datang dengan Air Shutter pada bahagian bonet, dan ini merupakan satu ciri aerodinamik aktif yang boleh dibuka atau ditutup bergantung kepada keperluan untuk penyejukan dan aerodinamik itu sendiri.

Aliran udara pada bahagian hadapan kenderaan juga telah diperelok untuk mendapatkan kesan yang lebih baik, di mana udara akan dihalakan ke tepi kereta, berhampiran lengkuk roda dan ke bawah kereta, dan bukannya melalui laluan udara keluar di bonet.

Model baru ini juga ditambah dengan lencana ‘Coupe’ pada bahagian C-pillar, dan dipasangkan dengan rim aloi ringan 20 inci yang mempunyai rekaan seperti unit pada i8 Roadster. Untuk kemasan akhir, pelanggan mempunyai pilihan warna Jet Black, Crystal White dengan kemasan Frozen Grey ataupun Donington Grey.

Selain daripada itu, kebanyakan bahagian luar kenderaan ini masih lagi sama seperti sebelumnya. Ia masih lagi menggunakan pintu yang terbuka ke atas, Air Curtain di bahagian bawah bampar, bahagian bawah kenderaan yang tertutup, skirting tepi berlekuk, serta salur udara di antara dua lampu belakang belakang dan rangka bumbung.

Masuk ke dalam, i8 Coupe ini didatangkan dengan tombol gear yang dikelilingi seramik dan bezel untuk tombol iDrive. Terdapat juga kemasan ‘Drycarbon’, lapik bumbung anthracite dan tempat duduk yang dibalut kulit ‘Spheric’. Papan pemukanya masih mempunyai bentuk sama, tetapi diberikan dengan tambahan pilihan warna untuk heads-up display dan Navigation System Professional versi terkini.

Sistem navigasi ini bekerja sama dengan sistem operasi iDrive, Touch Controller pada konsol tengah, skrin 8.8 inci serta sistem bunyi Harman Kardon 600-watt. Kelengkapan lain yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, Park Distance Control, tempat duduk larasan kuasa, sistem pencahayaan suasana dalam dan pengawal pendingin hawa dua zon.

Harga yang ditetapkan untuk BMW i8 baru ini adalah RM1,310,800 tidak termasuk insurans. Turut diberi adalah jaminan selama lima tahun tanpa had batuan bersama program servis berkala percuma, program jaminan tayar dua tahun, bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan keahlian untuk BMW White Card (dengan akses untuk aplikasi BMW Group Loyalty+).

Satu lagi alternatif yang diberi untuk pemilikan BMW i8 baru ini adalah Balloon Financing Plan daripada BMW Credit, yang membenarkan anda memiliki kenderaan ini dengan pelan bayaran bulanan bermula RM15,088 (menggunakan rujukan pinjaman sebanyak 80% untuk tempoh lima tahun).