Setelah berada lapan tahun dalam pasaran, Daihatsu Malaysia bakal memperkenalkan Panel Van Daihatsu Gran Max 1.5L dalam versi automatik ke pasaran tempatan. Belum lagi dilancarkan secara rasmi, namun untuk pelanggan yang berminat, van komersial berkenaan kini sudah pun boleh ditempah menerusi pengedar-pengedar rasmi jenama tersebut, bakal dijual pada harga RM69,888.

Serentak dengan itu, Daihatsu turut mengumumkan pakej servis penyelenggaraan percuma selama satu tahun kepada pelanggan yang membuat tempahan bermula 16 Ogos hingga 30 September ini.

Van pacuan roda belakang ini dijana dengan enjin 1.5L DOHC DVVT 3SZ-VE, sama seperti Perodua Myvi generasi kedua menghasilkan kuasa 95 hp dan tork maksima 134 Nm. Menurut Daihatsu, model dengan transmisi automatik berkenaan tidak mempunyai masalah untuk membawa badan bersama beban pada angka mencecah 2,000 kg.

Ia direka dengan radius pusingan stereng 4.7 meter bagi memudahkan pergerakan di dalam bandar, manakala untuk keselamatan ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, dua beg udara SRS di hadapan, serta kolum stereng terlipat sendiri ketika kemalangan. Setiap pembelian van panel ini disertakan sekali dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km yang masa sampai dulu.