Isuzu akan bawa kenderaan yang guna enjin diesel turbo 1.9 Ddi BluePower ke pameran KLIMS tahun ini

Pasaran Malaysia baru menerima satu lagi Isuzu D-Max edisi terhad bulan lepas, tapi anda harus ingat, itu bukanlah versi facelift terkini seperti yang sudah dilancarkan di Thailand hujung tahun lepas, dan ia juga masih belum datang dengan enjin turbo diesel 1.9 liter Ddi BluePower, sedangkan Thailand sudah menerimanya sejak November 2015.

Perkara ini mungkin berubah kerana dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS’18 yang akan berlangsung pada bulan November ini), Isuzu memberitahu akan membawa enjin BluePower ini ke pameran tersebut.

“Kami berbesar hati untuk menunjukkan enjin diesel 1.9 liter BluePower ini di KLIMS’18. Enjin berkapasiti kecil tetapi berkuasa yang baru direka ini adalah satu penyelesaian Isuzu untuk mematuhi standard penjagaan alam sekitar yang ketat sekarang, dengan kuasa yang hebat. Enjin ini juga sangat cekap dalam penggunaan bahan api. Ia adalah satu hasil daripada prinsip inovasi kecekapan bahan api dan ketahanan kami,” kata COO Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Isuzu akan bawa kenderaan yang guna enjin diesel turbo 1.9 Ddi BluePower ke pameran KLIMS tahun ini

Di Thailand, D-Max yang menggunakan enjin 1.9 liter Ddi BluePower ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 150 hp dan tork 350 Nm antara 1,800 hingga 2,600 rpm. Enjin yang menggunakan kod RZ4E-TC ini dipadankan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik.

Sementara di Malaysia pula, D-Max ditawarkan dengan enjin 2.5 dan 3.0 liter yang sudah berada dalam pasaran agak lama. Enjin 2.5 liter 4JK1-TCX menghasilkan kuasa 136 PS dan 320 Nm tork antara 1,800 hingga 2,800 rpm. Walaupun kapasiti lebih besar daripada enjin 1.9 Ddi, kuasanya adalah lebih rendah. Enjin 3.0 liter 4JJ1-TCX pula mampu menghasilkan 177 PS dan 380 Nm tork antara 1,800 hingga 2,800 rpm.

GALERI: Isuzu D-Max X-Series di Malaysia