Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model Mercedes-AMG GT C Coupe yang termasuk di dalam barisan “Dream Car” keluarannya, selain daripada model CLS 53/CLS 450 dan E300 Cabriolet. Model ini mengisi ruang antara AMG GT S dan AMG GT R yang dijual untuk pasaran tempatan ketika ini. Harga jualannya ialah RM1.46 juta, tidak termasuk insurans.

Ia menggunakan enjin M178 4.0 liter biturbo V8 yang menjana kuasa sebanyak 549 hp pada 5,750 hingga 6,750 rpm. Manakala tork pula adalah sebanyak 680 Nm dari 1,900 hingga 5,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik ke roda belakang. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 317 km/j, sementara pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

Model GT C ini meminjam beberapa ciri teknikal daripada dua model sebelumnya. Sebagai contoh ialah active rear axle steering (dari GT R) serta LSD kawalan elektronik (dari GT S). Lain-lain ciri berkaitan pemanduan yang turut disediakan ialah suspensi sport AMG Ride Control serta pakej AMG Dynamic Plus.

Seperti juga model-model Mercedes-Benz yang lain, pemandu GT C turut diberi lima pilihan mod pemanduan – Comfort, Sport, Sport, Race dan Individual. Tidak ketinggalan ialah sistem ekzos AMG Performance.

Tidak sukar untuk mengenali model ini hanya dari rupa bentuk yang ditawarkan. Gril depan Panamericana menjadi antara “cop mohor” kereta ini, dilengkapi juga dengan penggunaan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist.

Rim pula menggunakan saiz 20-inci aloi dengan lima jejari dengan kaliper brek (enam piston) berwarna merah. Sementara itu, bagi pakej AMG Exterior Night, beberapa bahagian luarannya menerima kemasan krom hitam seperti pada diffuser belakang, jeriji gril, kit sisi badan serta hujung ekzos.

Bagi ruang kabin, antara kelengkapan yang tersedia ialah stereng AMG Performance dalam material gentian mikro hitam Dinamica yang menjadi sebahagian daripada pakej AMG Dynamic Plus. Bahagian lain kebanyakkan menggunakan material kulit Nappa.

Selebihnya, kemasan gentian karbon kesat melengkapkan lagi imej sporty pada kereta ini, dengan tali pinggang keselamatan warna merah dari koleksi Designo, pencahayaan suasana, sunroof panoramik serta tempat duduk AMG Performance dengan fungsi memori.

Kelengkapan lain yang ada termasuk kawalan suhi Thermotronic, sistem infotainmen COMAND Online dengan ciri touchpad, sistem bunyi oleh Burmester dan sistem tanpa kunci. Bagi ciri keselamatan pula, GT C ini dilengkapi juga antaranya dengan ESP tiga peringkat serta sistem PRE-SAFE.

Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga laman CarBase.my.