Pada 20 Ogos lalu, Perodua telah memaklumkan pengeluaran model Myvi baharu mengalami gangguan sementara kerana berhadapan dengan bekalan daripada salah satu vendor. Sekaligus menjejaskan 3,100 pelanggan yang sepatutnya menerima Myvi mereka sebelum 1 September ini.

Justeru, Perodua membuat keputusan untuk menawarkan rebat tunai sebagai pampasan kepada para pelanggan yang terlibat. “Kami ingin menawarkan rebat tunai kepada para pelanggan kami yang dihargai apabila kenderaan mereka didaftar nanti, sebagai pampasan di atas kesulitan yang dialami. Kami juga akan memaklumkan kepada mereka mengenai masa penghantaran Myvi mereka dari semasa ke semasa,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

“Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf bukan sahaja kepada mereka yang tidak dapat menerima kenderaan mereka sebelum SST diperkenalkan semula, tetapi juga kepada semua pelanggan yang telah menempah Myvi selepas daripada itu, kerana gangguan pengeluaran akan menyebabkan penghantaran kenderaan tergendala.

“Pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami di Perodua. Kami amat memahami kekecewaan dan rungutan yang diterima disebabkan perkara yang tidak diingini ini, dan kami akan sentiasa mencari kaedah penyelesaian yang terbaik untuk memastikan pengeluaran Myvi dapat beroperasi semula secepat mungkin,” tambahnya lagi.

Sejak dilancarkan pada November 2017, lebih daripada 68,000 Perodua Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima, menjadikan ia model terlaris Perodua sepanjang tahun setakat ini.