Kejuaraan Formula 4 SEA – Fueled by Petron berlangsung di Madras Motor Race Track buat kali pertama dan menyaksikan pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti menebus semula nasib malangnya ketika perlumbaan di litar Sepang sebelum ini untuk muncul juara dalam perlumbaan ketiga di India itu.

Dengan permulaan yang baik dari awal, Ghiretti mengekalkan kelebihan kedudukan itu hingga ke akhir perlumbaan untuk mengumpul mata keseluruhan terkini sebanyak 71 mata sebaik sahaja tamat perlumbaan Acara 3 berkenaan.

Sementara itu, pelumba Thailand, Kane Shepherd pula memberi saingan sengit kepada Ghiretti, sebelum menamatkan perlumbaan ditempat kedua bagi kali ketiga berturut-turut. Persembahan konsisten ini membolehkan beliau meraih 54 mata keseluruhan setakat ini.

Berada di kedudukan ketiga di belakang Ghiretti dan Kane dalam pungutan mata selepas perlumbaan itu pula ialah pelumba Malaysia, Muizz Musyafa dengan 50 mata. Awal perlumbaan menyaksikan saingan sengit antara dua pelumba di depan. Bagi Muizz, jalannya juga tidak mudah.

Dia diasak rapat oleh pelumba Ireland, Luke Thompson. Muizz sempat dipintas oleh Luke dan hilang kawalan jenteranya sebelum kembali menyertai enam pelumba di kelompok depan. Dengan keluarnya kereta keselamatan selepas itu, kedudukan antara pelumba rapat kembali. Saingan sengit berterusan, walaupun Ghiretti berupaya keluar dari kelompok itu untuk terus mendahului.

Perlumbaan kedua hujung minggu lalu pula menyaksikan pelumba Jepun, Ryo Komikado dan Alister Yoong dari Malaysia memulakan saingan di petak pertama dan kedua dan diikuti oleh Luke ditempat ketiga. Sejak awal perlumbaan dilepaskan, banyak aksi getir yang berlaku. Antaranya pelumba Australia, Aidan Wright yang menghimpit Muizz hingga terpaksa ke bahagian rumput dan membuka ruang untuk Ghiretti memintas Kane.

Ghiretti kemudiannya mengambil peluan untuk memintas Luke di selekoh ke enam; asakan yang berterusan untuk beberapa ketika itu akhirnya menyaksikan Luke sedikit terbabas ke kawasan berumput. Jentera Luke pula sedikit terangkat ke udara sebelum dia merapat semula di belakang Kane. Luke bagaimanapun tidak memperoleh kedudukan podium – ia masing-masing menjadi milik Ghiretti, Shepherd dan Muizz.

Perlumbaan ketiga pula lebih menyebelahi Muizz; bermula di tempat keempat dan tamat di tempat kedua. Aksi-aksi sengit dan mendebarkan menghiasi sepanjang perlumbaan ini. Perebutan kedudukan utama antara Ghiretti, Kane dan Ryo antara yang menarik diperhatikan. Sementara itu Muizz pula dalam perlumbaan ini memberi banyak saingan kepada rakan senegara, Alister yang awalnya berada di depannya.

Kereta keselamatan keluar lagi di hadapan Ghiretti yang ketika itu berada di kedudukan ketiga. Muizz berjaya menamatkan pusingan berkenaan di kedudukan pertama dan diikuti oleh Kane di tempat kedua.