Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan negeri itu bersedia untuk menguji bas yang menggunakan kuasa hidrogen tak lama lagi. The Star melaporkan, langkah itu akan membolehkan Sarawak merintis jalan ke arah penggunaan sumber tenaga diperbaharui.

Johari menjelaskan, sumber air empangan hidroelektrik yang banyak di negeri itu boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih bagi kenderaan. “Adalah menjadi impian kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dengan penggunaan sumber tenaga diperbaharui.

“Saya yakin hidrogen merupakan sumber tenaga untuk masa hadapan. Perkembangan dunia ketika ini menyaksikan peralihan daripada penggunaan tenaga fosil kepada tenaga lain yang lebih bersih,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacturing dari China yang akan membekalkan bas yang dikuasakan oleh fuel-cell hidrogen kepada negeri itu.

Projek berkenaan akan dimulakan dengan ujian percubaan terhadap tiga bas hidrogen prototaip yang dijangka akan diterima menjelang Mac 2019. Ketiga-tiganya akan digunakan sebagai ujian di pusat bandar Kuching, sekali gus berperanan untuk mendidik orang awam berkaitan keberkesanan penggunaan kenderaan dari tenaga hidrogen.

“Kita sudah melihat kenderaan jenis ini digunakan dengan jayanya di negara-negara seperti China dan Jerman. Bagi Sarawak, kami akan cuba tiga bas ini terlebih dahulu untuk menunjukkan kepada umum yang mungkin ragu-ragu dengan teknologi berkenaan serta mendidik mereka,” tambah beliau lagi.

Menurut Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain menjelasan, projek ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan dan kajian fuel-cell hidrogen yang dijalankan oleh kerajaan negeri. Ini termasuk untuk mendirikan kilang pengeluaran hidrogen untuk digunakan oleh kenderaan.

Awal tahun ini, Johari menolak cadangan SPAD untuk menggunakan bas dikuasakan diesel dan ingin beralih kepada tenaga yang lebih bersih.