Kalau anda masuk ke dalam bilik pameran Lamborghini Kuala Lumpur sekarang, suasananya sudah berbeza daripada sebelum ini. Reka letak telah diperbaharui, begitu juga dengan penerapan identiti korporat baru yang lebih segar dan menarik.

Dari luar, akan terlihat lambang Lamborghini dengan pencahayaan serta latar hitam. Di dalam pula serba serbi lebih kemas, cerah dengan ruang pameran yang membolehkan anda melihat dan menyentuh sendiri kemasan perincian yang ditawarkan sebagai pilihan bagi kenderaan Lamborghini yang ada.

Ruang servis pula meliputi keluasan 12,494 kaki persegi, menempatkan kemudahan 3S yang juga terlah diperkemas untuk menampung lebih banyak kenderaan – yang disumbangkan oleh jumlah SUV Urus. Semuanya ada tujuh ruang servis, termasuk kelengkapan dengan pengangkat hidraulik khusus untuk kegunaan bagi model Urus.

“Dengan sokongan daripada peminat serta pemilik Lamborghini di sini, penampilan terbaru bilik pameran ini melambangkan keyakinan kami terhadap jenama dan perniagaan Lamborghini di Malaysia. Ini terutama sekali selepas pertambahan barisan model yang ditawarkan, termasuk model SUV Urus,” jelas Pengarah Urusan Lamborghini Kuala Lumpur, Marcus Chye. Turut hadir keteka majlis pengenalan rasmi itu ialah CEO Lamborghini Asia Pasifik, Matteo Ortenzi.

Sejak dilancarkan Mac lalu, Lamborghini Urus setakat ini telah menerima 60 tempahan, dengan tempoh menunggunya mencecah hingga setahun, menurut Chye.