Honda Malaysia maklumkan penggantian inflator beg udara Takata bagi kenderaannya kini 84% selesai

Berikutan kenyataan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkaitan tindakan senarai hitam bagi mereka yang kenderaanya terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata tetapi masih berdegil untuk berbuat demikian, Honda Malaysia sekali lagi menggesa pemilik yang terlibat untuk tampil segera.

Setakat 20 September 2018, Honda Malaysia memaklumkan sejumlah 236,800 unit inflator beg udara pemandu telah ditukar, dengan peratusan jumlah penganntian yang telah diselesaikan kini pada tahap 90%. Jika mengambil kira sekali gantian infolator beg udara sebelah penumpang depan, angka berkenaan sudah melebihi 496,400 atau 84% selesai.

Kesediaan stok ketika ini pula bagi inflator kedua-dua belah pemandu dan penumpang ialah 100% bagi semua model terlibat. Sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini, semua kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia dan penggantian hanya akan mengambil masa yang singkat sahaja.

Honda Malaysia maklumkan penggantian inflator beg udara Takata bagi kenderaannya kini 84% selesai

Honda juga memaklumkan sejumlah 94 pusat servis bertauliah jenama itu di seluruh negara sentiasa bersedia untuk melayan servis berkaitan panggilan semula ini. Pemilik dinasihatkan untuk membuat temujanjin terlebih dahulu di cawangan yang berdekatan. Selain itu, hab bergerak juga disediakan bertempat di lokasi-lokasi pusat beli belah dan stesen Petronas terpilih. Bagi khidmat bergerak ini, temujanji tidak diperlukan.

Honda Malaysia juga ada melakukan khidmat dari pintu ke pintu di beberapa kawasan terpilih. Ia dijalankan oleh petugas-petugas dengan seragam khas dengan surat pengesahan. Ini termasuk bagi unit-unit import yang bukan dijual atau diedarkan oleh Honda Malaysia, semuanya turut tertakluk kepada aktiviti ini. Selain itu, pemilik-pemilik kenderaan Honda juga digalakkan untuk mendaftar kenderaan mereka di pusat pengedar Honda supaya setiap maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima dengan cepat.

Pemilik boleh memeriksa status kenderaan mereka melalui laman web www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my. Mereka boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia 1800-88-2020 atau berkunjung ke mana-mana pengedar sah Honda.