Skoda telah mendedahkan lakaran rekaan dan infomasi mengenai model konsep Vision RS yang bakal ditampilkan di Paris Motor Show tahun ini. Ia bukan sekadar mempertontonkan model elektrifikasi jenama berkenaan, malahan turut mendedahkan bahasa rekaan bagi model akan datang Skoda RS dan serta menjadi pembayang untuk kenderaan kompak baharu (yang mungkin bakal menggantikan Rapid).

Vision RS merupakan jentera plug-in hybrid, dan dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder TSI petrol yang mampu menghasilkan kuasa 148 hp (150 PS), dengan bantuan motor elektrik dan pek bateri 13 kWh yang bakal menambahkan lagi kuasanya sebanyak 101 hp (102 PS). Jumlah keseluruhan kuasa yang mampu dihasilkan ialah 242 hp (245 PS), sementara pacuan semua-elektrik mencecah 70 km (NEDC) dan emisi bagi CO2 pula dilaporkan sekitar 33 g/km.

Skoda mendakwa pacuan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.1 saat dan kelajuan maksimum pula 209 km/j. Manakala pengecasan bateri lithium-ion pula mengambil masa sekitar 2.5 jam apabila menggunakan penyambung seperti Type 2, CCS dan sebagainya, manakala pengecasan standard pula belum didedahkan lagi.

Daripada segi rekaannya, Vision RS tidak banyak berbeza dengan sentuhan biasa Skoda, ia hadir dengan sudut yang tajam dan menonjol. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril yang menjadi signatur dengan lampu utama tiga-elemen, sementara apron yang lebih rendah mempunyai corong yang lebih lebar.

Sementara di bahagian belakang pula, kelihatan peredap yang agresif dengan kemasan hitam senada gaya pada hadapan. Lampu belakang berbentuk-J dengan paten segitiga menjadi pilihan, di samping tingkap belakang berbentuk unik.

Bagi dalamannya pula, ia menampilkan rekaan yang bersifat emotif. Paparan digital pada papan pemuka, konsol tengah dan instrumen dikekalkan, bersama roda stereng sporty, tuil gear yang pendek dan sedikit besar dan juga tempat duduk moden. Model konsep ini banyak menggunakan material yang bersifat kekal, termasuk gentian karbon yang dikitar semula yang banyak digunakan untuk ruang dalaman ini.