Triumph Street Twin mula diperkenalkan pada tahun 2016, dan kini ia telah diberikan pembaharuan untuk model tahun 2019. Daripada aspek penampilan, rekaan asasnya masih sama tetapi kini didatangkan dengan rim aluminium, logo serta paparan instrumen yang lebih premium. Kemudiannya, beberapa perincian lain turut diperbaharui, termasuk tapak lampu hadapan, lencana pada tangki, bahan untuk tempat duduk serta unit lampu utama itu sendiri.

Tidak terhenti setakat di situ, prestasi model ini juga dipertingkat, bermula dengan bahagian enjin. Walaupun masih menggunakan unit asas sama iaitu unit dua silinder selari 900 cc HT, kuasanya telah dipertingkat sebanyak 10 PS (+18%) dan had kitaran tertinggi enjin telah dinaikkan sebanyak 500 rpm. Tork pula masih berada pada 80 Nm. Semua ini adalah hasil daripada penggunaan crankshaft, dead shaft, balance shaft dan klac yang lebih ringan.

Selain daripada itu, demi memberikan tunggangan yang lebih memuaskan, aspek ergonomik untuk penunggang dan juga penumpang motosikal ini telah diperbaiki dan dijadikan lebih dinamik dengan katrij fork hadapan berspesifikasi tinggi dengan jarak gerak 120 mm. Angkup brek juga dipertingkat dengan unit empat piston daripada Brembo di hadapan.

Untuk sistem elektronik, Street Twin 2019 kini didatangkan secara standard dengan dua pilihan mod tunggangan (Road dan Rain), brek ABS, sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup, soket pengecas USB, lampu belakang LED, immobiliser dan klac jenis Torque Assist.

Untuk model standard, Triumph menawarkan tiga warna bagi Street Twin 2019 iaitu Matt Ironstone, Korosi Red dan Jet Black, dan pengguna boleh memilih pelbagai aksesori lain yang terdapat di dalam katalog. Untuk menjadikannya lebih senang, terdapat juga dua pakej lain iaitu kit Urban Ride dan Cafe Custom yang boleh menjadikan penampilan motosikal itu berbeza.