McLaren sedang dalam program pembangunan jentera lumba 720S GT3, dan telah memutuskan untuk membangunkan model Super Series ini dengan versi yang boleh digunakan di atas jalan raya.

Digelar Track Pack, spesifikasi baharu ini akan tiba di beberapa pasaran untuk model 720S, dengan jentera yang lebih ringan, umpama jentera lumba terutama bagi kalangan penggemarnya.

Bagi pakej jentera asas dengan spesifikasi 720S Performance, akan menerima ciri standard termasuk corong udara bonet gentian karbon, corong udara dapra belakang dan perumah cermin pintu, bersama pencahayaan enjin.

Ditambah pula dengan rim aloi 10-jejari yang cukup ringan, spoiler belakang gentian karbon MSO Defined dengan kemasan berkilat dan ekzos sport. Bagi dalamannnya pula, tempat duduk racing gentian karbon yang ringan (dalam dua saiz), pedal penukar gear gentian karbon MSO Defined dengan kemasan sutera dan roda stereng kemasan Alcantara hitam turut ditampilkan.

Menurut McLaren, untuk kesemua elemen ini, bersama titanium bar mount untuk enam-poin harness telah membantu mengurangkan 24 kg daripada beratnya. Malahan Track Pack juga menambah larasan Track terlebih dahulu ke mod pemanduan. Manakala sistem McLaren Track Telemetry (MTT) pula membantu merekod catatan masa di litar dengan tiga kamera video dan perisian data-logging.

Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada penjana kuasa, ia masih kekal dengan enjin M840T 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 750 PS pada 7,500 rpm dan tork 770 Nm pada 5,500 rpm. Turut dipadankan dengan kotak gear dwi-klac SSG tujuh-kelajuang, yang membolehkan pecutan dari sifar ke 100/j hanya dalam 2.9 saat dan kelajuan maksimum sehingga 341 km/j.

Track Pack ditawarkan pada harga 28,360 British pounds (RM153,061) sebelum nilai harga kereta itu sendiri, dan jika anda inginkan 720S dalam spesifikasi Performance dengan Track Pack, nilai yang diperlukan ialah 224,700 British pounds (RM1,212,725).