Hyundai telah memberikan pembaharuan untuk model i40, dengan kedua-dua yang berbentuk sedan dan wagon mendapat sedikit perubahan rekaan, tambahan pilihan enjin dan senarai kelengkapan yang dinaik taraf.

Pada bahagian luar, i40 sekarang menggunakan Cascading Grille yang sudah banyak digunakan pada model-model baru lain Hyundai. Ia juga kini didatangkan dengan pilihan rim 18 inci, sebagai tambahan kepada pilihan 16 inci serta 17 inci yang ada pada model sekarang.

Sama seperti bahagian luar, bahagian dalam juga tidak banyak berubah, tetapi terdapat kombinasi warna baru iaitu Merah Merlot dan Kelabu/Hitam yang menyertai warna Hitam dan Beige sedia ada. Semua warna ini boleh didapati bagi kemasan kulit manakala warna Hitam dan Beige turut ditawarkan untuk fabrik biasa. Bergantung kepada warna tempat duduk yang dipilih, pelapik pintunya akan menggunakan warna yang kontras.

Walaupun perubahan gaya ini tidak begitu menyeluruh, i40 yang dipertingkat ini mendapat manfaat daripada Hyundai Smart Sense yang termasuk sistem Forward Collision-Avoidance Assist (FCA). Dengan sistem ini, ia kenderaan dapat memberikan amaran jika ada keadaan bahaya di hadapan dan membrek secara automatik jika perlu.

Di bawah bonetnya, satu pilihan enjin diesel 1.6 liter Smartstream baru telah diperkenalkan, dan ia datang dalam dua talaan kuasa iaitu 115 PS/280 Nm dan 136 PS/320 Nm – kedua-duanya datang dengan kotak gear manual enam kelajuan. Versi yang lebih berkuasa bagi enjin ini juga ditawarkan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.