Porsche Cayenne Turbo E3 dipertonton di Pavilion, KL

Porsche Cayenne Turbo E3 dipertonton di Pavilion, KL

Porsche Cayenne generasi E3 dilancarkan di Malaysia Julai tahun ini, tapi dengan hanya dua varian iaitu Cayenne dan Cayenne S. Sekarang, Sime Darby Auto Performance (SDAP) mempertontonkan satu lagi varian yang lebih berkuasa, iaitu Cayenne Turbo di Pavilion, Kuala Lumpur.

Supaya jelas, kami ingin nyatakan ini cuma satu pra tonton dan ia belum dilancarkan secara rasmi. Jadi, harganya juga masih belum ada. Model Cayenne yang dilancarkan sebelum ini dijual pada harga RM745,000 (termasuk cukai tapi tanpa kos pendaftaran, barangan tambahan dan insurans) manakala Cayenne S berharga RM890,000. Daripada ini, kita boleh menjangka harga Cayenne Turbo adalah lebih tinggi.

Penggerak Cayenne Turbo E3 adalah enjin V8 petrol biturbo 4.0 liter (0.8 liter lebih kecil berbanding Cayenne Turbo generasi E2) yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 550 PS dan 770 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic S serta sistem pacuan semua roda aktif Porsche Traction Management (PTM).

Daripada aspek prestasi, Cayenne Turbo boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 4.1 saat, iaitu satu saat lebih pantas berbanding Cayenne S (6.2 saat bagi Cayenne asas). Ia juga mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi berbanding varian yang ada dijual sekarang iaitu 286 km/j (Cayenne S 265 km/j dan Cayenne asas 245 km/j).

Kelengkapan standard lain yang ada pada model ini adalah termasuk suspensi udara adaptif untuk Porsche Active Suspension Management (PASM), Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC), Porsche Active Aerodynamics (PAA) dengan spoiler bumbung adaptif, sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin 12.3 inci dan Porsche Surface Coated Brake (PSCB).

Cayenne Turbo mempunyai penampilan yang lebih menyerlah pada bahagian hadapannya dengan bukaan udara yang lebih besar. Selain daripada itu, bahagian belakang juga mempunyai empat muncung ekzos yang lebih tajam, berbanding bulat pada Cayenne S.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required