Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

Hari terakhir Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang memang mengundang pelbagai kejutan termasuk aksi daripada para pelumba yang saling mencabar antara satu sama lain. Dari awal perlumbaan sehinggalah ke akhir, para pelumba ketiga-tiga kategori cukup tidak memberikan peluang kepada pencabar, masing-masing berebut mahu menduduki podium.

Litar buatan khas sepanjang 1.99 km cukup memberikan cabaran kepada para pelumba, malahan setiap selekoh dan laluan memberikan pengalaman yang cukup bermakna khususnya buat pelumba yang pertama kali menyertai perlumbaan sebegini. Namun ini ternyata tidak memudarkan semangat untuk ledakan adrenalin pada tahap maksimum, justeru masing-masing saling mencabar.

Bagi kelas Promotional, jika semalam Nabil Ahmad menguasai litar, namun tuah tidak menyebelahi dirinya apabila takhtanya dirampas oleh penyanyi muda, Aiman Tino, yang mempamerkan aksi mengejutkan. Jentera No.77 yang dipandu Aiman cukup konsisten dari pusingan pertama dan dia hanya mengambil masa selama 25 minit 44 saat untuk ke garisan penamat. Pencabar terdekatnya, Akim Ahmad, memang mengekorinya rapat bampar ke bampar, yang hanya ketinggalan 0.5 saat dan hanya berpuas hati di tempat kedua.

Manakala Diana Danielle kekal sebagai pelumba wanita yang dibanggakan kerana berjaya menduduki podium di tempat ketiga. Diikuti oleh Janna Nick, Wany Hasrita, Nabil, Nabila Razali dan Khai Bahar, cuma malang bagi timbalan pengerusi UMW Toyoya Motor, Akio Takeyama yang gagal meneruskan perlumbaan dan terkandas di pusingan ke-enam. Malah beliau turut dikenakan penalti 10-saat pada awal perlumbaan dan kemudian berlanggar pula dengan Nabil hingga jentera yang dipandunya terlanggar penghadang konkrit.

Kelas Sporting pula diungguli oleh Patrick Tam dari pasukan Nanoplus, yang dicabar rapat oleh Clement Yeo (Distinctive Model) di tangga kedua dan Eric Yong (ST Wangan Racing Team) pula di tangga ketiga. Malang bagi pelumba berusia 14 tahun, Hayden Haikal, yang semalam beraksi cemerlang, tapi hari ini nasib tidak menyebelahinya kerana terkeluar di pusingan ke-enam selepas jenteranya terlanggar jentera yang dipandu oleh Clement Yeo.

Malahan pelumba jentera No.2, Adzeem Aqwan Adnan juga terlibat dengan kemalangan di pusingan enam, memberikan peluang kepada pemandu lain termasuk Dannies Ng, Brendon Lim dan Syukri Yahya memintasnya, sekaligus menduduki tangga enam teratas.

Kategori yang paling profesional pula, Super Sporting, menyaksikan kemaraan Kenny Lee dari pasukan Kegani Racing menjadi juara walau pun dicabar rapat oleh Brendan Paul Anthony (Dream Chaser) di tangga kedua dan Boy Wong di tangga ketiga. Biar pun perlumbaan terhenti seketika selepas dua selekoh pertama kerana jentera yang dipandu oleh William Ho terbalik selepas terlanggar sedikit dengan Freddie Ng. Mujur tiada sebarang kecederaan biar pun ini memaksa William tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Drama makin menjadi-jadi dengan aksi kejar-mengejar antara pelumba dan juga insiden yang melibatkan Ng yang terlanggar penghadang konkrit, sekaligus memberi peluang kepada pelumba di belakangnya untuk memintas sekaligus memburu tempat terbaik.

Cuaca yang panas hari ini memang tidak menghalang kunjungan orang ramai khususnya peminat sukan permotoran untuk membanjiri perkarangan litar di MAEPS ini. Malah dengan pelbagai aktiviti yang menarik terutamanya model-model baharu Toyota yang dipamerkan di ruang khas, memberikan peluang untuk para pengunjung melihat secara lebih dekat jentera yang dipamerkan. Malah duta Toyota C-HR, Fattah Amin, turut meluangkan masa seketika di ruang pameran Toyota.

Selepas Kuala Terengganu pada Ogos lalu, dan pusingan kedua di MAEPS juga telah berakhir, nantikan pusingan ketiga yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required