Penala lagenda BMW, Alpina kini memperkenalkan model edisi khas terbaharunya berdasarkan badan 2-pintu BMW 4 Series dikenali sebagai B4 S Bi-Turbo Edition 99. Seperti namanya, versi ini hanya dihasilkan sebanyak 99 unit, ditawarkan dalam bentuk sama ada coupe atau convertible.

Model ini dijana oleh enjin 3.0 liter enam silinder bersama dua buah pengecas turbo. Dipadankan standard bersama sistem ekzos titanium Akrapovic yang 7-kg lebih ringan, enjin berkenaan mampu menjana 445 hp (452 PS) dan tork maksima 680 Nm bermula 3,000 hingga 4,500 rpm.

Kuasa dari enjin dialirkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, dan juga unit LSD yang diberikan secara standard. Mod manual kotak gear automatik berkenaan kini lebih selesa digunakan dengan pemadanan pedal penukar gear aluminium Alpina yang lebih besar pada roda stereng, hadir dalam kemasan hitam matte.

Alpina menawarkan bentangan sistem pacuan roda belakang dan pacuan semua roda untuk model coupe, manakala versi convertible hanya hadir dalam versi pacuan roda belakang. Untuk itu, coupe FR mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 306 km/j, manakala versi AWD pula mencatatkan 3.9 saat untuk jarak pecutan sama dengan kelajuan maksima yang dihadkan pada 303 km/j.

Model coupe ini juga diberikan opsyen suspensi Alpina Sport Plus Suspension yang memberikan pengendalian yang lebih lincah dan lebih dinamik. Bagi model dengan bumbung boleh buka pula, pecutan dari pegun hingga 100 km/j mengambil masa 4.3 saat, manakala kelajuan maksimanya dicatatkan pada 304 km/j.

Edition 99 ini ditawarkan dengan lima warna badan berbeza iaitu Alpina Blue, Grigio Medio, Fire Orange, Sapphire Black, dan Mineral White. Ia diberikan rim Alpina Classic berdiameter 20-inci dengan kemasan Ferric Grey, namun pelanggan boleh ditawarkan dengan pilihan dua Deco-Set eksklusif sama ada kemasan hitam matte atau biru matte.

Untuk bahagian kabin pula, kemasan hitam piano Alpina diberikan secara standard, manakala pilihan kemasan Alcantara Anthracite atau Carbon Leather ditawarkan sebagai opsyen. Ciri istimewa lain yang diberikan termasuk roda stering Lavalina yang dibalut kulit dengan tangan, karpet kaki dan juga tempat duduk clubsport dengan multicontour yang dibalut dengan kulit Merino Black serta Alcantara Anthracite.

Alpina B4 S Bi Turbo Edition 99 ini dijual pada pasaran Jerman dengan harga bermula 74,705 euro (RM355,474) untuk model coupe dan juga 80,756 euro (RM384,267) untuk model convertible.